Henti suntikan kurus, berat badan kembali naik lebih cepat 

Henti suntikan kurus, berat badan kembali naik lebih cepat 

PENGGUNA suntikan menyekat selera makan didapati mengalami peningkatan berat badan empat kali lebih pantas selepas menghentikan rawatan tersebut.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Orang ramai yang berhenti mengambil suntikan penurun berat badan generasi baharu didapati mengalami kenaikan semula berat badan sehingga empat kali lebih cepat berbanding mereka yang berhenti menjalani program diet dan senaman.

Penyelidik Britain yang menjalankan kajian terbesar dan terkini mengenai perkara itu berkata, keadaan ini berlaku terutamanya kerana pengguna ubat tersebut kehilangan berat badan yang sangat banyak sejak awal.

Ubat generasi baharu yang dikenali sebagai agonis GLP-1 iaitu suntikan yang mengurangkan selera makan, menjadi semakin popular sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan mengubah rawatan obesiti serta diabetes di banyak negara.

Kajian sebelum ini menunjukkan ubat ini mampu membantu pengguna menurunkan antara 15 hingga 20 peratus berat badan mereka.

“Pada zahirnya, ia kelihatan seperti satu kisah kejayaan. Namun, data terkini menunjukkan kira-kira separuh pengguna berhenti mengambil ubat ini dalam tempoh setahun. 

“Antara sebabnya termasuk kesan sampingan seperti loya serta kos yang tinggi mencecah ribuan dolar sebulan,” kata Pakar Pemakanan Kesihatan Awam Universiti Oxford, Susan Jebb yang juga penulis bersama kajian baharu yang diterbitkan dalam jurnal BMJ.

Para penyelidik meneliti 37 kajian berkaitan penghentian penggunaan pelbagai ubat kurus dan mendapati berat peserta kajian meningkat semula sekitar 0.4 kilogram sebulan.

Enam daripada ujian klinikal tersebut melibatkan semaglutide, bahan aktif dalam ubat Ozempic dan Wegovy keluaran Novo Nordisk serta tirzepatide, yang digunakan dalam Mounjaro dan Zepbound oleh Eli Lilly.

Semasa mengambil ubat-ubat ini, peserta kajian kehilangan purata hampir 15 kilogram. Namun selepas menghentikan rawatan, berat mereka meningkat semula kira-kira 10 kilogram dalam tempoh setahun, iaitu tempoh susulan paling lama setakat ini bagi ubat yang masih baharu.

Sebaliknya, peserta yang hanya mengikuti program diet dan senaman tanpa ubat kehilangan berat badan yang jauh lebih sedikit tetapi mengambil masa purata empat tahun untuk menaikkan semula berat badan yang hilang.

Jebb menegaskan ubat GLP-1 adalah alat yang sangat berguna dalam rawatan obesiti, namun obesiti merupakan penyakit kronik yang mudah berulang.

“Seseorang boleh menjangkakan rawatan ini perlu diteruskan seumur hidup, sama seperti ubat tekanan darah. Data baharu ini jelas menunjukkan ia adalah langkah permulaan, bukan penawar.

“Rawatan yang mampan kemungkinan memerlukan gabungan pelbagai pendekatan, strategi jangka panjang dan terapi yang mengubah cara otak mengawal keseimbangan tenaga bukan sekadar mengurangkan selera makan ,” kata Penyelidik Neurosains Metabolik Universiti Melbourne, Garron Dodd yang tidak terlibat dalam kajian tersebut.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN