Gempa kuat 6.2 magnitud gegar barat Jepun

Gempa kuat 6.2 magnitud gegar barat Jepun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Satu gempa bumi kuat berukuran 6.2 magnitud menggegarkan barat Jepun pada Selasa, menurut Agensi Meteorologi Jepun, tanpa sebarang amaran tsunami dikeluarkan.

Tiada laporan kerosakan besar setakat ini selepas gempa tersebut direkodkan pada pukul 10.18 pagi (waktu tempatan) di wilayah Shimane pada kedalaman cetek.

Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) merekodkan bacaan lebih rendah iaitu 5.8 magnitud.

Gempa itu mencatatkan tahap lima atas pada skala Shindo Jepun di bandar Yasugi, barat negara tersebut. Pada tahap ini, perabot berat boleh tumbang dan pemandu kenderaan mungkin mengalami kesukaran mengawal stereng.

Agensi Meteorologi Jepun (JMA) memaklumkan kawasan sama kemudiannya dilanda beberapa gempa susulan lebih kecil sekitar 4.5, 5.1, 3.8 dan 5.4 magnitud, namun tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Menurut penyiar NHK yang memetik syarikat utiliti Chugoku Electric, tiada sebarang kelainan dikesan di loji nuklear Shimane setakat pukul 10.45 pagi (waktu tempatan).

Sebahagian rangkaian kereta api laju Shinkansen digantung susulan gangguan bekalan elektrik, kata pengendali JR West. Bagaimanapun, masih belum dapat dipastikan sama ada gangguan itu berkaitan dengan gempa berkenaan.

Pihak tentera Jepun memaklumkan mereka sedang menjalankan penilaian kerosakan dari udara.

Jepun terletak di atas empat plat tektonik utama di sepanjang pinggir barat Lingkaran Api Pasifik dan merupakan antara negara paling aktif secara seismik di dunia.

Kepulauan yang dihuni kira-kira 125 juta penduduk itu mengalami sekitar 1,500 gegaran setiap tahun.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×