Dunia ‘skeptikal’ peranan 'Lembaga Trump' di Gaza

Dunia ‘skeptikal’ peranan ‘Lembaga Trump’ di Gaza

SEORANG lelaki membawa kanak-kanak menaiki basikal di kawasan khemah menempatkan keluarga Palestin yang terpaksa berpindah di Gaza City.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Kerajaan di seluruh dunia skeptikal terhadap jemputan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk menyertai inisiatif Lembaga Keamanan Gaza yang dilihat berpotensi menjejaskan usaha keras dan operasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Hanya Hungary, yang pemimpinnya diketahui merupakan sekutu rapat Trump memberikan penerimaan jelas terhadap jemputan itu. 

“Kami menerima jemputan yang mulia ini. Dokumen itu menyatakan keamanan yang berterusan memerlukan keputusan pragmatik, penyelesaian logik dan keberanian untuk menolak pendekatan serta institusi yang sering gagal,” kata Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban di laman X.

Jemputan tersebut dihantar kepada kira-kira 60 negara sejak Sabtu lalu termasuk Perancis, Jerman, Itali, Australia, Kanada, Suruhanjaya Eropah (EC) dan kuasa utama Asia Barat.

Kerajaan lain kelihatan enggan membuat kenyataan rasmi dan pegawai menyuarakan kebimbangan secara tersirat mengenai kesan inisiatif itu terhadap peranan PBB.

Menurut salinan surat dan draf piagam yang diperoleh Reuters, jawatankuasa itu akan dipengerusikan seumur hidup oleh Trump, bermula dengan menangani konflik di Gaza sebelum diperluas untuk menangani konflik lain. 

Negara anggota pula hanya diberi tempoh tiga tahun, kecuali bersetuju untuk membayar AS$1 bilion (RM4.05 bilion) bagi menjadi ahli tetap dan membiayai aktiviti jawatankuasa.

“Usaha ini menawarkan keahlian tetap kepada rakan negara yang menunjukkan komitmen mendalam terhadap keamanan, keselamatan dan kemakmuran,” kata Rumah Putih melalui platform media sosial X.

Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni berkata, negaranya sedia memainkan peranan, namun tidak jelas sama ada beliau merujuk khusus kepada Gaza atau keamanan global. 

Perdana Menteri Kanada, Mark Carney pula berkata, beliau bersetuju secara prinsip dengan Lembaga Keamanan Gaza, tetapi butiran lanjut masih dalam perbincangan.

Mesyuarat PBB meluluskan mandat jawatankuasa untuk Gaza sehingga 2027, tetapi hanya tertumpu pada konflik Gaza sahaja. 

Russia dan China mengekalkan pendirian berkecuali kerana resolusi itu tidak memberi peranan jelas kepada PBB dalam masa depan Gaza.

KEBIMBANGAN TERHADAP PBB

Piagam yang terkandung dalam surat jemputan turut membangkitkan kebimbangan di beberapa kerajaan Eropah ia boleh menjejaskan kerja PBB, yang sebelum ini dikritik Trump kerana tidak menyokong usaha beliau menyelesaikan konflik dunia.

“Ini seolah-olah ‘PBB versi Trump’ yang mengabaikan piagam asas PBB,” kata seorang diplomat. Tiga diplomat Barat lain berkata, inisiatif itu berpotensi melemahkan PBB jika diteruskan.

Menurut beberapa diplomat dan sumber Israel, Trump mahu jawatankuasa itu akhirnya mempunyai peranan lebih luas di luar Gaza, termasuk menangani konflik lain yang dikatakan sudah diselesaikan beliau.

Jurucakap Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres berkata, negara anggota bebas untuk membentuk kumpulan berbeza dan badan tersebut akan terus melaksanakan mandatnya.

Trump, yang mengimpikan Hadiah Nobel Keamanan berkata, jawatankuasa itu akan bermesyuarat tidak lama lagi dan menegaskan ia adalah jawatankuasa terhebat dalam sejarah dan pertama seumpamanya, yang belum pernah wujud sebelum ini

PILIHAN AHLI JAWATANKUASA

Rumah Putih mengumumkan beberapa ahli jawatankuasa termasuk Setiausaha Negara AS, Marco Rubio; utusan khas Trump, Steve Witkoff; bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair dan menantu Trump, Jared Kushner.

Sebuah Lembaga Eksekutif Gaza dianggotai 11 ahli turut dibentuk termasuk pegawai dari Turkiye dan Qatar.

Rumah Putih tidak menyatakan tanggungjawab setiap ahli jawatankuasa. Tiada wakil Palestin disenaraikan dengan kebanyakannya dari AS sementara ahli tambahan dijangka diumumkan dalam minggu-minggu akan datang. 

Israel dan kumpulan pejuang Hamas bersetuju dengan rancangan Trump yang menetapkan pentadbiran teknokrat Palestin akan diselia oleh jawatankuasa antarabangsa bagi tempoh peralihan pentadbiran Gaza.

Rumah Putih memaklumkan lembaga tersebut akan menangani isu seperti pembangunan kapasiti tadbir urus, hubungan serantau, pembinaan semula, tarikan pelaburan, pembiayaan berskala besar serta pergerakan modal.

Antara nama besar dalam pentadbiran AS yang menyertai lembaga itu ialah Presiden Bank Dunia, Ajay Banga; seorang ahli perniagaan Amerika kelahiran India dan pembiaya bilionair AS, Marc Rowan serta pembantu setia Trump yang berkhidmat dalam Majlis Keselamatan Negara AS, Robert Gabriel.

Trump turut melantik Mejar Jeneral AS, Jasper Jeffers, sebagai Ketua Pasukan Penstabilan Antarabangsa yang akan bertanggungjawab menyediakan keselamatan di Gaza serta melatih pasukan polis baharu bagi menggantikan Hamas.

Jeffers yang berasal daripada pasukan operasi khas di Komando Pusat AS sebelum ini pada akhir 2024 dilantik untuk memantau gencatan senjata antara Lubnan dan Israel, meskipun serangan berkala yang menyasarkan militan Hezbollah masih berterusan.

Sebelum ini, anak jati Gaza dan bekas timbalan menteri Pihak Berkuasa Palestin (PA), Ali Shaath dipilih untuk mengetuai jawatankuasa pentadbiran.

Pada Sabtu, kumpulan militan Palestin, Jihad Islam, mengkritik komposisi Lembaga Keamanan Gaza, menegaskan jawatankuasa tersebut dibentuk mengikut kriteria Israel dan bagi melayani kepentingan penjajahan.

Beberapa pakar hak asasi manusia dan pengkritik menyamakan pengawasan itu seperti struktur kolonial, manakala penglibatan Blair dikritik kerana sejarah imperialisme Britain di Asia Barat.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN