AS, UK bawa keluar anggota dari pangkalan tentera Qatar susulan ancaman Iran

AS, UK bawa keluar anggota dari pangkalan tentera Qatar susulan ancaman Iran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DOHA: Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) mengurangkan bilangan anggota tentera mereka di Pangkalan Udara Al-Udeid di Qatar.

Tindakan itu dibuat selepas seorang pegawai kanan Iran memberi amaran Iran akan menyerang pangkalan-pangkalan tentera AS di negara-negara jiran di Asia Barat sekiranya Washington melancarkan serangan.

Pegawai memberitahu CBS, pengunduran separa anggota AS itu adalah satu langkah berjaga-jaga.

Dalam satu kenyataan, kerajaan Qatar berkata, langkah yang diambil oleh AS adalah sebagai tindak balas terhadap ketegangan serantau semasa.

Pejabat Luar UK turut mengumumkan penutupan sementara Kedutaan Britain di Teheran, yang kini beroperasi secara jarak jauh, menurut jurucakap kerajaan.

Kedutaan AS di Doha pula menasihatkan kakitangannya supaya meningkatkan tahap kewaspadaan dan mengehadkan perjalanan tidak penting ke Pangkalan Udara Al-Udeid.

Menurut kumpulan hak asasi, lebih 2,600 penunjuk perasaan antikerajaan terbunuh dalam tindakan keras pihak berkuasa Iran sejak kebelakangan ini.

Mengulas pengurangan anggota tentera, kerajaan Qatar menegaskan ia akan terus melaksanakan semua langkah perlu bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat serta penduduknya sebagai keutamaan tertinggi, termasuk tindakan berkaitan perlindungan infrastruktur kritikal dan kemudahan ketenteraan.

Pangkalan Udara Al-Udeid merupakan pangkalan tentera terbesar AS di Asia Barat, menempatkan kira-kira 10,000 anggota AS serta sekitar 100 anggota UK. Jumlah sebenar anggota yang akan beredar masih belum diketahui.

Awal minggu ini, Trump memberi amaran AS akan mengambil tindakan sangat tegas terhadap Iran sekiranya pihak berkuasa negara itu melaksanakan hukuman mati terhadap penunjuk perasaan. Iran pula menegaskan ia akan bertindak balas sekiranya diserang oleh AS.

Pada Rabu, Trump berkata pentadbirannya dimaklumkan daripada sumber yang boleh dipercayai  pembunuhan di Iran sudah dihentikan dan tiada rancangan untuk pelaksanaan hukuman mati.

“Kami akan melihat dan memantau bagaimana proses ini berjalan,” katanya ketika ditanya sama ada tindakan ketenteraan kini tidak lagi dipertimbangkan terhadap Iran.

Selain penutupan sementara Kedutaan Britain di Teheran, Misi AS ke Arab Saudi turut menasihatkan kakitangannya dan rakyat AS supaya meningkatkan kewaspadaan dan mengehadkan perjalanan tidak penting ke mana-mana kemudahan ketenteraan di rantau ini.

Itali dan Poland mengeluarkan kenyataan menggesa rakyat masing-masing meninggalkan Iran, manakala Jerman mengeluarkan notis kepada pengendali penerbangan supaya tidak memasuki ruang udara Teheran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×