KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky mengumumkan bersedia mengadakan pilihan raya dalam tempoh tiga bulan jika Amerika Syarikat (AS) dan sekutu lain dapat memastikan keselamatan proses pemilihan tersebut.
Undang-undang Ukraine melarang pilihan raya ketika waktu perang, namun Zelensky yang penggalnya tamat tahun lalu kini berdepan tekanan baharu daripada Presiden AS, Donald Trump ketika Washington mendesak Kyiv mempercepat usaha damai dalam perang hampir empat tahun dengan Russia.
“Saya bersedia untuk pilihan raya, malah saya meminta agar AS membantu saya, mungkin bersama rakan-rakan di Eropah untuk memastikan keselamatan pilihan raya.
“Dalam 60 hingga 90 hari berikutnya, Ukraine akan bersedia mengadakan pilihan raya,” katanya kepada wartawan.
Kenyataan itu dibuat susulan komen Trump dalam wawancara dengan Politico pada Selasa, yang mendakwa kerajaan Ukraine menggunakan perang sebagai alasan untuk mengelak daripada mengadakan pilihan raya.
“Anda tahu, mereka bercakap tentang demokrasi, tetapi sampai satu tahap ia bukan lagi demokrasi,” kata Trump.
Zelensky menolak dakwaan beliau sengaja mengekalkan kuasa, menegaskan ia tidak berasas.
Semalam, beliau mengumumkan Ukraine menyediakan cadangan diperhalusi dan komponen baharu mengenai pelan damai untuk menamatkan perang dengan Russia yang dirumus bersama para pemimpin Britain, Perancis dan Jerman di London yang kini sudah siap untuk disemak oleh AS.
Bantuan ketenteraan untuk Ukraine merosot dengan ketara pada separuh kedua tahun 2025 apabila sumbangan Eropah yang semakin berkurangan gagal menampung pemberhentian sokongan dari AS, menurut data daripada Institut Kiel pada Rabu.










