HONG KONG: Ribuan orang hadir memberi penghormatan kepada mangsa kebakaran paling dahsyat di Hong Kong dalam tempoh lebih 75 tahun, ketika Beijing mengeluarkan amaran akan bertindak tegas terhadap sebarang protes anti-China susulan tragedi itu.
Pihak berkuasa keselamatan negara China pada Sabtu memberi amaran kepada individu yang cuba menjadikan bencana tersebut sebagai alasan untuk menjerumuskan Hong Kong kembali ke dalam kekacauan seperti pada 2019, ketika protes besar-besaran prodemokrasi mencabar Beijing dan mencetuskan krisis politik.
“Kami memberi amaran keras kepada golongan anti-China yang cuba ‘mengganggu’ Hong Kong melalui bencana. Apa pun cara yang digunakan, kamu pasti akan dipertanggungjawabkan dan dihukum dengan tegas,” katanya.
Pada Sabtu, polis dilaporkan menahan Miles Kwan, 24, ahli kumpulan yang melancarkan petisyen menuntut siasatan bebas terhadap kemungkinan rasuah dan semakan semula pemantauan pembinaan, menurut dua sumber yang mengetahui perkara itu.
Petisyen dalam talian tersebut mengumpulkan lebih 10,000 tandatangan setakat Sabtu petang sebelum ia ditutup dengan petisyen kedua mengemukakan tuntutan serupa dilancarkan sejurus selepas itu oleh seorang penduduk Tai Po yang kini tinggal di luar negara.
Punca kebakaran di tujuh menara kompleks pangsapuri bertingkat tinggi itu masih dalam siasatan dan pihak berkuasa menahan 11 individu di tengah kemarahan awam berhubung kemungkinan rasuah, amaran risiko kebakaran yang diabaikan dan bukti amalan pembinaan tidak selamat.
Polis berkata, jumlah kematian yang disahkan meningkat kepada 146 selepas melengkapkan pemeriksaan ke atas lima blok kediaman yang hangus dengan beberapa mayat ditemui di tangga dan bumbung, menunjukkan penghuni cuba melarikan diri.
Orang ramai beratur lebih satu kilometer di sepanjang tebing terusan berhampiran kompleks perumahan Wang Fuk Court yang musnah untuk meletakkan bunga putih sebagai tanda penghormatan kepada mangsa.
Seorang penduduk, Joey Yeung, 28, yang hadir selepas rumah neneknya musnah dalam kebakaran itu berkata, dia datang bersama keluarganya untuk berkabung, sambil membawa perasaan marah kepada pihak yang bertanggungjawab.
“Saya tidak boleh terima keadaan ini. Jadi hari ini saya datang bersama ayah dan keluarga untuk meletakkan bunga. Kami bukan mahukan apa-apa balasan, tetapi sekurang-kurangnya berikan keadilan kepada keluarga mangsa dan mereka yang masih hidup,” katanya.
Tujuh pembantu rumah warga Indonesia dan seorang pembantu Filipina turut disahkan antara yang maut, manakala puluhan pekerja migran masih hilang. Ratusan orang turut menghadiri doa terbuka komuniti Filipina di Hong Kong pada pagi Ahad.-AGENSI










