LONDON: Bekas Perdana Menteri United Kingdom (UK), Tony Blair dilaporkan tidak akan menduduki jawatan utama dalam Majlis Keamanan Gaza yang dicadangkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump selepas negara-negara Arab dan Muslim dikatakan membantah penglibatan beliau.
Menurut Financial Times (FT), nama Blair digugurkan secara senyap daripada pertimbangan untuk jawatan utama majlis yang akan diterajui Trump itu berikutan laporan meluas Blair sedang berusaha untuk mendapatkan peranan penting dalam pentadbiran sementara Gaza.
Penyokong Blair menekankan peranan beliau dalam menamatkan dekad-dekad keganasan di Ireland Utara, namun pengkritik melihat rekod pencapaiannya yang kurang memberangsangkan ketika berkhidmat sebagai wakil Quartet, gabungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Eropah (EU), AS dan Russia dalam memediasi keamanan Asia Barat.
Di dunia Arab yang lebih luas, Blair juga dilihat dengan pandangan skeptikal kerana peranannya dalam pencerobohan dipimpin AS ke atas Iraq pada 2003 yang berakhir dengan bencana.
Blair sebelum ini menjadi satu-satunya individu yang dikenal pasti secara terbuka berpotensi memegang jawatan dalam majlis itu ketika Trump mendedahkan pelan 20 perkara bagi mengakhiri perang antara Israel dan Hamas pada akhir September.
Tony Blair Institute for Global Change (TBI) dilaporkan turut sama memberikan input dalam merangka pelan tersebut.
Mengakui Blair masih figura kontroversi, Trump pada Oktober mengakui sentiasa menyukainya tetapi mahu memastikan beliau adalah pilihan yang diterima oleh semua pihak.
Terdapat dakwaan Blair sudah pun mengadakan pertemuan sulit dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, pada akhir November untuk membincangkan rancangan tersebut, menurut laporan Times of Israel.
Seorang sumber yang bercakap kepada FT mencadangkan Blair masih berpotensi memainkan peranan kurang penting dalam kapasiti dalam majlis berkenaan.










