PHNOM PENH: Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta bagi menamatkan konflik bersenjata di sepanjang sempadan kedua-dua negara yang berlarutan selama beberapa minggu dan mengorbankan puluhan nyawa.
Persetujuan itu dimeterai melalui satu kenyataan bersama yang ditandatangani oleh menteri pertahanan kedua-dua negara, dengan gencatan senjata berkuat kuasa mulai pukul 12 tengah hari waktu tempatan pada 27 Disember 2025.
Menurut kenyataan tersebut, gencatan senjata itu melibatkan semua jenis senjata dan melarang sebarang serangan terhadap orang awam, infrastruktur awam serta sasaran ketenteraan di semua kawasan konflik.
Dalam tempoh tiga minggu pertempuran, sekurang-kurangnya 47 orang dilaporkan terbunuh manakala lebih satu juta penduduk terpaksa meninggalkan kediaman mereka akibat pertempuran yang melibatkan artileri, kereta kebal, dron dan pesawat pejuang.
Kedua-dua pihak turut bersetuju membekukan pergerakan tentera serta membenarkan penduduk di kawasan sempadan pulang ke rumah masing-masing secepat mungkin bagi memulihkan keadaan keselamatan.
Selain itu, Thailand dan Kemboja akan bekerjasama dalam usaha pembersihan periuk api serta meningkatkan kerjasama bagi membanteras jenayah siber yang turut menjadi kebimbangan serantau.










