HANOI: Hujan lebat berterusan di Vietnam mencetuskan banjir yang meragut sekurang-kurangnya dua nyawa dan mengakibatkan lebih 12 kejadian tanah runtuh, lapor media kerajaan.
Pihak berkuasa menyifatkan 2025 sebagai tahun bencana alam paling luar biasa dalam sejarah negara tersebut.
Wilayah selatan-tengah Vietnam sejak beberapa minggu lalu dibadai hujan lebat, menenggelamkan ratusan ribu rumah di kawasan pelancongan pantai popular serta mencetuskan tanah runtuh maut di kawasan pergunungan.
Pada Khamis, hujan lebat terus memburukkan keadaan di wilayah Lam Dong, menenggelamkan ribuan lagi rumah dan mengorbankan sekurang-kurangnya dua orang, lapor Voice of Vietnam.
Sebanyak 16 kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku di wilayah tersebut, merosakkan jalan raya dan jambatan serta memaksa ratusan penduduk dipindahkan.
Menurut Jabatan Meteorologi dan Hidrologi Kementerian Alam Sekitar, sebanyak 21 ribut termasuk 15 taufan dan enam tekanan rendah tropika melanda Vietnam tahun ini, jumlah tertinggi sejak rekod bermula pada 1961.
Lazimnya, negara tersebut berdepan kira-kira 10 taufan atau ribut setiap tahun.
Vietnam, yang terletak di kawasan siklon tropika paling aktif di dunia, turut mengalami hujan luar biasa lebat serta banjir besar meluas tahun ini, dengan paras air sungai mencatat rekod baharu dari kawasan utara hingga ke tengah dan menjangkau Delta Mekong.
“Belum pernah berlaku dalam sejarah, banjir berskala besar dan luar biasa melanda serentak 20 sungai dalam satu tahun,” menurut kenyataan kementerian itu.
Satu kawasan di Vietnam Tengah turut mencatat hujan sehingga 1,739mm dalam tempoh 24 jam.
Secara keseluruhan, bencana alam di Vietnam tahun ini menyebabkan lebih 400 orang maut atau hilang, selain kerosakan melebihi AS$3.6 bilion (RM14.7 bilion), menurut kementerian.-AFP










