WASHINGTON: Campur tangan Amerika Syarikat (AS) dalam pilihan raya negara lain sudah berlaku selama beberapa dekad, namun tiada presiden moden yang berbuat demikian secara terang-terangan seperti Donald Trump.
Berbeza daripada taktik tersembunyi seperti operasi Agensi Perisikan Pusat (CIA) atau kempen media sulit, Trump secara terbuka menggesa pengundi negara lain menyokong sekutu politik sayap kanannya, dengan menggunakan media sosial sebagai platform utama.
Terbaharu di laman Truth Social, Trump menyokong calon sayap kanan Honduras, Nasry Asfura, yang disifatkan sebagai ‘satu-satunya rakan sebenar kebebasan’ dan berikrar akan bekerjasama dengannya.
Asfura mendahului dengan sokongan tipis selepas proses pengundian pada Ahad.
“Saya tidak dapat mengingati mana-mana Presiden AS secara terbuka menyatakan pilihannya dalam pilihan raya asing seperti ini, sekurang-kurangnya dalam sejarah moden,” kata pengarah program demokrasi konflik dan tadbir urus di Carnegie Endowment for International Peace, Thomas Carothers.
Trump juga sangat lantang di Amerika Latin, rantau yang lama menjadi tumpuan campur tangan AS.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, turut memperlekeh Presiden Columbia yang dipilih rakyat dan berhaluan kiri, Gustavo Petro, sebagai tidak waras, selain mengenakan sekatan terhadap seorang hakim Brazil yang mendakwa bekas presiden sayap kanan, Jair Bolsonaro, kerana cuba membatalkan keputusan pilihan raya.
Di Argentina, Trump menjanjikan AS$20 bilion (RM82.6 bilion) untuk menyokong ekonomi negara itu yang sedang bergelut, namun mengugut akan menarik balik bantuan itu jika pengundi menolak Presiden Javier Milei dalam pilihan raya perundangan.
Parti libertarian berhaluan keras itu akhirnya memenangi pemilihan tersebut.
“Ia adalah usaha konsisten untuk mempengaruhi politik, bagi mengukuhkan apa yang mereka lihat sebagai satu peralihan ke arah kanan yang semakin mendapat momentum di rantau ini,” kata felo hal ehwal Amerika Latin di Majlis Hubungan Luar Negeri, Will Freeman.
Di Venezuela, meskipun tiada pilihan raya untuk dipengaruhi, Trump mencadangkan penggunaan kekuatan ketenteraan AS bagi menyingkirkan pemimpin sayap kanan, Nicolas Maduro.
TUMPUAN KE EROPAH
Trump turut berusaha mempengaruhi keseimbangan politik di Eropah. Ketua keselamatan dalam negerinya, Kristi Noem, ketika lawatan ke Poland secara terbuka menyokong calon konservatif, Karol Nawrocki untuk jawatan presiden yang kemudian memenangi pilihan raya tersebut.
Bagaimanapun, Trump kurang berjaya di Romania, apabila sekutunya daripada parti sayap kanan tewas dalam pemilihan presiden, selepas keputusan undian sebelumnya dibatalkan secara kontroversi.
Naib Presiden AS, JD Vance, dalam kunjungan ke Jerman, secara terbuka mengkritik sekatan terhadap parti haluan kanan AfD.
Trump atau pembantunya turut memuji ahli politik anti pendatang Britain, Nigel Farage, serta mengkritik keputusan mahkamah di Perancis terhadap pemimpin sayap kanan, Marine Le Pen.
Pentadbiran Trump juga mengurangkan usaha selama beberapa dekad untuk mempromosikan demokrasi di luar negara, apabila Rubio mengeluarkan kabel yang mengarahkan kedutaan untuk mengelak daripada mengulas mengenai keabsahan pilihan raya di luar negara.
Pendekatan itu mencerminkan sikap Trump terhadap pilihan raya di negaranya sendiri.
Beliau enggan menerima kekalahannya pada 2020 dan didakwa cuba menolak keputusan di negeri Georgia, kes yang digugurkan minggu lalu susulan kemenangannya dalam pilihan raya 2024.
Trump, mungkin mengambil iktibar daripada pengalamannya sendiri, secara terbuka menggesa presiden Israel supaya memberikan pengampunan kepada Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu yang terpalit skandal.
PENDEKATAN UNIK TRUMP
Ironinya, Trump dalam ucapan di Riyadh pada Mei mengecam campur tangan asing, sekurang-kurangnya untuk konteks Asia Barat, dengan mendakwa usaha AS sebelum ini berakhir dengan kegagalan.
Pakar sains politik, Dov Levin, dalam sebuah buku pada 2021 mendapati AS campur tangan dalam lebih 80 pilihan raya asing sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua, lebih banyak daripada mana-mana negara lain.
Namun, Carothers berkata, Trump adalah unik bukan sahaja dari segi cara beliau campur tangan secara terbuka, tetapi juga motivasi yang dilihat berbeza.
“Ia tidak sama seperti era Perang Dingin apabila AS menyokong tokoh tertentu kerana sebab geostrategik.
“Apa yang berlaku kini ialah Donald Trump merasakan beliau mempunyai sekumpulan rakan di seluruh dunia yang ingin dibantunya,” kata Carothers.
Beliau berkata, hanya Russia mempunyai taktik yang hampir sama, dengan Kremlin secara aktif menyatakan pilihannya dalam negara-negara bekas blok Soviet, termasuk baru-baru ini di Moldova, di mana calon pilihannya tewas. – AFP










