LOS ANGELES: Pengarah terkenal Amerika Syarikat (AS), Rob Reiner dan isterinya ditemui meninggal dunia di rumah agam mereka di selatan California, menurut laporan media AS.
Datuk Bandar Los Angeles, Karen Bass berkata, beliau sangat berduka dan terkejut atas kehilangan itu dan siasatan sedang dijalankan.
“Saya sangat berduka atas kehilangan tragik Reiner dan isterinya, Michele. Saya mengenali Reiner dan sangat menghormatinya.
“Seorang pelakon, pengarah, penerbit, penulis yang diiktiraf dan aktivis politik yang berdedikasi, beliau sentiasa menggunakan bakatnya untuk berkhidmat kepada orang lain,” tambah beliau.
Media NBC memetik sumber keluarga melaporkan pasangan itu ditemui mati akibat apa yang dipercayai sebagai luka tikam.
Bagaimanapun, pihak berkuasa memaklumkan tiada tanda pencerobohan atau kemasukan secara paksa dikesan di kediaman berkenaan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai punca sebenar kejadian.
Polis Los Angeles tidak mengesahkan identiti mangsa tetapi menyatakan detektif sedang menyiasat kes kematian di kediaman pengarah filem When Harry Met Sally dan Princess Bride itu.
Bomba Los Angeles memberitahu NBC seorang lelaki dan seorang wanita, berumur kira-kira 78 dan 68 tahun, ditemui meninggal di dalam rumah tersebut.
Jiran mengesahkan rekod hartanah yang menunjukkan Reiner dan isterinya menetap di rumah itu di kawasan mewah Brentwood, lapor NBC.
Reiner mencapai kemasyhuran sebagai menantu Michael Meathead Stivic dalam sitkom revolusioner 1970-an All in the Family, sebelum beralih kepada pengarahan dengan mockumentari muzik This is Spinal Tap pada 1984.
Beliau mengarah filem komedi romantik 1989 When Harry Met Sally, dibintangi Billy Crystal dan Meg Ryan.-AFP










