Pusat pelancongan Semarang ranap dilanda banjir lumpur 

Pusat pelancongan Semarang ranap dilanda banjir lumpur 

KEADAAN kolam air panas Pancuran 13 yang musnah dilanda banjir lumpur di kawasan pelancongan Guci di wilayah Tegal, Jawa Tengah.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMARANG: Kawasan pelancongan air panas Desa Guci di wilayah Bumijawa, Jawa Tengah ditutup sementara selepas dilanda banjir lumpur yang memusnahkan hampir keseluruhan kawasan tersebut.

Ketua Agensi Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Jawa Tengah, Bergas Catursasi Penanggungan memaklumkan, air banjir kini surut, tetapi kerosakan di kawasan Pancuran 13 sangat serius, termasuk kemusnahan kemudahan utama kolam air panas yang tertimbus lumpur, pasir dan batu.

Sebuah jambatan kecil yang menjadi laluan utama pengunjung turut musnah dihanyutkan arus deras.

“Air banjir sudah mulai surut, tetapi jambatan dihanyutkan arus dan kawasan Pancuran 13 rosak teruk. Kesemua pengunjung berjaya dipindahkan, manakala kawasan kejadian kini disekat daripada sebarang aktiviti pelancongan. Tiada korban jiwa dilaporkan.

“Selain Pancuran 13, limpahan air turut merebak ke kawasan Pancuran 5. Hanya Tugu Guci berwarna emas yang masih teguh walaupun kawasan sekeliling tertimbus banjir lumpur dan kayu,” kata Bergas menerusi pesanan ringkas semalam.

Menurut laporan Pusat Kawalan Operasi Pengurusan Bencana (Pusdalops), banjir lumpur deras berlaku akibat hujan lebat berterusan yang menyebabkan Sungai Gung melimpah dan menenggelamkan kawasan pelancongan Guci.

Infrastruktur penting seperti paip saluran air panas ke penginapan sekitar turut terputus akibat dihanyutkan arus deras.

Kawasan berkenaan kini ditutup sepenuhnya kerana masih dianggap berisiko dan pasukan petugas gabungan masih meneruskan pemantauan rapi berikutan cuaca masih berkabus tebal dan berpotensi hujan semula.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN