PETALING JAYA: Kumpulan Nirvana Asia mengesyaki sindiket dari Kemboja menjadi dalang di sebalik siri kecurian tong abu mayat di beberapa taman peringatan baru-baru ini.
Syarikat perkhidmatan pengurusan kematian itu memaklumkan, kejadian berkenaan tidak dilihat sebagai kes terpencil atau rawak, sebaliknya dipercayai mempunyai unsur jenayah terancang yang dilakukan secara sistematik.
“Jenayah serupa yang menyasarkan institusi pengebumian telah dilaporkan di pelbagai negara dan wilayah sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk Hong Kong dan Korea Selatan dan dipercayai berkait dengan sindiket penipuan Kemboja yang beroperasi di rantau ini.
“Perbuatan keji ini adalah kesalahan jenayah serius serta pencabulan berat terhadap maruah si mati dan hak keluarga mereka,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, sebanyak 30 tong abu mayat dari kolumbarium di taman peringatannya di Nilai dilaporkan hilang.
Kejadian turut berlaku di Kulai, Johor dengan lebih 20 tong abu mayat dipercayai dicuri dari Perpetual Memorial Park.
Katanya, semua tong abu mayat yang terjejas di taman peringatan mereka telah ditemui semula dan kini sedang melalui proses pengesahan, pemeriksaan serta penempatan semula secara teratur.
“Bagi mengelakkan siasatan yang sedang berjalan terjejas dan menghormati privasi keluarga terbabit, butiran lanjut tidak akan didedahkan buat masa ini.
“Kami akan terus berhubung secara langsung dengan keluarga terlibat bagi memastikan semua urusan susulan diuruskan dengan penuh teliti dan sensitif,” katanya.
Katanya, langkah kecemasan tahap tertinggi telah diaktifkan, termasuk mewujudkan saluran komunikasi terus secara peribadi dengan keluarga terjejas.
Selain menyediakan sokongan perundangan dan emosi, pihaknya juga akan mengatur upacara keagamaan dan majlis peringatan yang bersesuaian bagi menghormati si mati. – UTUSAN










