SYDNEY: Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese berikrar melaksanakan tindakan tegas terhadap ucapan kebencian, perpecahan dan radikalisasi susulan serangan tembakan rambang yang meragut 15 nyawa pada festival Yahudi di Pantai Bondi.
“Rakyat Australia terkejut dan marah. Saya juga marah. Jelas kita perlu berbuat lebih banyak untuk membanteras kejahatan ini,” katanya pada sidang media, semalam.
Albanese mengumumkan pelbagai langkah bagi menyasarkan penceramah ekstremis, mengenakan hukuman lebih berat dan menolak atau membatalkan visa individu yang menyebar “kebencian dan perpecahan”.
Orang ramai berkumpul menghadiri pengebumian seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang antara mangsa yang ditembak semasa menyambut Hanukkah pada Ahad lalu.
Komuniti Yahudi Australia dan pihak lain sebelum ini mengkritik kerajaan kerana tidak cukup proaktif menangani peningkatan antisemitisme.
Undang-undang baharu mengenai “ucapan kebencian yang dipertingkatkan” akan menghukum penceramah dan pemimpin yang menabur kebencian dan keganasan, selain menjadikan “penindasan serius” berdasarkan kaum atau penyebaran supremasi kaum sebagai kesalahan persekutuan.
Kerajaan juga akan menambah kuasa Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri untuk membatalkan atau menolak visa individu penyebar kebencian serta menubuhkan pasukan khas 12 bulan bagi memastikan sistem pendidikan memberi respons sewajarnya terhadap antisemitisme.










