Kediaman rasmi ‘berhantu’, Perdana Menteri Jepun berpindah

Kediaman rasmi ‘berhantu’, Perdana Menteri Jepun berpindah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, dibimbangi berdepan kesukaran untuk tidur selepas berpindah ke kediaman rasmi yang dikatakan dihuni roh askar Jepun dari kira-kira satu abad lalu.

Perdana menteri wanita pertama Jepun itu berpindah pada Isnin ke rumah agam tersebut yang terletak bersebelahan pejabatnya di tengah Tokyo, lebih dua bulan selepas memegang jawatan.

Sebelum ini, beliau menetap di penginapan khas untuk ahli Parlimen, namun menerima kritikan kerana mengambil masa sekitar 35 minit untuk tiba di pejabat selepas gempa bumi besar melanda pada awal Disember.

Takaichi, 64, mengambil alih tampuk kepimpinan dengan ikrar untuk ‘bekerja, bekerja, bekerja, bekerja dan bekerja’, dan menyatakan sejak memegang jawatan beliau terlalu sibuk sehingga hanya mampu tidur antara dua hingga empat jam setiap malam.

Dibuka pada 1929, persekitaran baharu dengan reka bentuk diinspirasikan oleh arkitek Amerika Syarikat (AS), Frank Lloyd Wrigh, menerusi Hotel Imperial yang kini sudah dirobohkan itu mungkin bakal menjejaskan lagi tidur Takaichi.

Bangunan itu pernah menjadi lokasi dua cubaan rampasan kuasa pada era 1930-an, apabila beberapa pegawai kanan termasuk seorang perdana menteri dibunuh oleh pegawai tentera muda.

Selain sekurang-kurangnya satu lubang peluru yang masih kelihatan, roh mereka yang terlibat dikatakan oleh sesetengah pihak masih berkeliaran di lorong-lorong bangunan tersebut.

Pendahulu Takaichi, Shigeru Ishiba, turut tinggal di kediaman itu selepas ia diubah suai pada 2005 dan menyatakan beliau tidak takut kepada ‘hantu’.

Sebelum beliau, Fumio Kishida juga melaporkan tidak pernah melihat sebarang jelmaan serta tidur dengan lena.

Bekas perdana menteri, Shinzo Abe dan Yoshihide Suga pula memilih untuk tinggal di kediaman lain, menyebabkan kediaman rasmi itu kosong daripada penghuni selama sembilan tahun sehingga 2021, sekali gus meninggalkan ‘roh-roh’ yang didakwa wujud tanpa teman.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN