NEW YORK: Penghantaran pesawat Boeing baharu yang akan digunakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) dikenali sebagai Air Force One, sekali lagi ditangguhkan sekurang-kurangnya untuk tempoh setahun.
Perkara itu disahkan menurut garis masa terkini yang dikeluarkan oleh Tentera Udara AS.
Menurut garis masa itu, pesawat pertama daripada dua pesawat Boeing 747-8 yang dilengkapi khas dikenali sebagai VC-25B, tidak akan beroperasi sekurang-kurangnya sehingga 2028.
“Pada Jumaat lalu, Tentera Udara AS menganugerahkan pindaan kontrak bernilai AS$15.5 juta (RM63.3 juta) kepada The Boeing Company bagi program VC-25B,” kata seorang jurucakap Tentera Udara kepada AFP pada Ahad.
Jurucakap itu berkata, kos berkenaan berkaitan dengan integrasi sistem komunikasi baharu yang boleh dilaksanakan dalam jadual program sedia ada dengan jangkaan penghantaran pesawat VC-25B pertama pada pertengahan 2028.
Sebelum ini, Tentera Udara AS menyatakan pesawat pertama dijangka dihantar pada 2027.
Bagaimanapun, tiada sebab khusus bagi kelewatan terbaharu itu diumumkan.
Ketika dihubungi AFP, Boeing merujuk sebarang pertanyaan berkaitan program berkenaan kepada Tentera Udara AS.
Syarikat aeroangkasa gergasi AS itu berdepan kelewatan berulang serta kerugian kewangan susulan kontrak harga tetap untuk menggantikan Air Force One.
Kontrak yang ditandatangani pada 2018 semasa penggal pertama Presiden, Donald Trump itu pada asalnya menyasarkan penghantaran awal sebuah pesawat menjelang akhir 2024.










