CHENGDU: Doktor di China mengeluarkan satu pemetik api dari perut seorang lelaki, tiga dekad selepas dia menelannya.
Pasukan perubatan terpaksa menggunakan kaedah luar biasa bagi mengeluarkan objek itu daripada perut pesakit.
Lelaki berkenaan, yang hanya dikenali dengan nama keluarga Deng, mendedahkan dia menelan pemetik api tersebut ketika mabuk sebagai cabaran taruhan pada tahun 1991.
Sejak itu, dia mengalami pelbagai masalah kesihatan yang akhirnya memerlukan rawatan.
Pasukan perubatan akhirnya mengeluarkan objek tersebut tanpa pembedahan, menggunakan kaedah kreatif termasuk menggunakan kondom untuk “menangkap” pemetik api itu.
Deng kini dalam proses pemulihan di hospital.
Menurut media tempatan, Deng yang menetap di Chengdu mengakui dia menerima cabaran rakan-rakannya untuk menelan pemetik api tersebut.
Selama bertahun-tahun, dia tidak mengalami kesakitan serius, kecuali sesekali mengalami sakit perut yang dapat dirawat dengan ubat.
Namun pada Oktober lalu, keadaan berubah apabila Deng mengalami sakit perut teruk dan berterusan serta kembung.
Kesakitannya semakin menjadi-jadi sehingga dia terpaksa dikejarkan ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. -AGENSI










