BEIJING: Pekerja di sebuah jawatankuasa kejiranan di China didapati mencetak imej wajah rakan sekerja mereka dan menggunakannya sebagai topeng untuk mengelak sistem daftar masuk yang menggunakan pengecaman wajah, sekali gus mengejutkan komuniti dalam talian.
Menurut Wenzhou City Daily, seorang penduduk bernama Li membuat aduan terhadap beberapa kakitangan jawatankuasa di bandar Wenzhou, wilayah Zhejiang di timur China kerana menggunakan topeng wajah tersebut untuk membantu rakan lain ponteng kerja.
Dengan memakai topeng wajah itu, seorang individu boleh mendaftar masuk bagi pihak beberapa orang.
Perbuatan tidak beretika itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di atas mesin daftar masuk tersebut.
Jawatankuasa kejiranan merupakan organisasi autonomi dan kakitangannya bukan penjawat awam tetapi mendapat elaun serta imbuhan bulanan.
Berita itu mencetuskan kecaman dalam talian selepas tular di media sosial China.
Li turut melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa lebih tinggi pada Oktober dan pihak kerajaan berjanji akan memberi maklum balas terhadap aduan tersebut sebelum 31 Disember ini.
“Ini satu bentuk korupsi. Mereka semua patut dipecat malah, perlu dihukum mengikut undang-undang kerana di sini ramai orang yang bergelut mencari pekerjaan dan berusaha keras untuk memperoleh pendapatan,” kata seorang pengguna dalam talian.










