‘Panda laut’ hampir pupus, kurang 10 ekor masih hidup

‘Panda laut’ hampir pupus, kurang 10 ekor masih hidup

VAQUITA porpoise diiktiraf sebagai mamalia laut paling terancam di dunia dengan jumlahnya kurang 10 ekor ketika ini. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CALIFORNIA: Vaquita porpoise iaitu spesies ikan lumba-lumba kecil atau dikenali ‘panda laut’’ yang mendiami kawasan utara Teluk California, kini diiktiraf mamalia laut paling terancam di dunia.

Digelar panda laut kerana lingkaran gelap di sekitar mata dan mulut hitam yang seakan tersenyum, populasinya merosot 98 peratus sepanjang tiga dekad lalu.

Menurut bancian terbaharu pada Oktober, jumlah yang masih hidup dianggarkan kurang daripada 10 ekor.

Kejatuhan kritikal ini didorong oleh aktiviti penangkapan ikan menggunakan pukat jerut secara haram untuk menangkap ikan berkenaan, dengan pundi renangnya (swim bladder) dianggap sebagai hidangan bernilai tinggi di China dan boleh dijual sehingga AS$10,000 (RM41,323) seunit.

Vaquita yang membesar hingga kira-kira 1.5 meter sering menjadi tangkapan sampingan bersama ikan totoaba.

Penangkapan ikan tersebut diharamkan di Mexico sejak 1975 dan negara itu turut menguatkuasakan larangan kekal terhadap penggunaan pukat jerut di kawasan Upper Gulf of California pada 2017.

Kedua-dua spesies vaquita dan totoaba disenaraikan dalam Apendiks I Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Flora dan Fauna Liar Terancam (CITES), yang melarang sebarang perdagangan.

Namun, aktiviti penangkapan menggunakan pukat jerut terus berleluasa. Pada Mac 2025, kerajaan Mexico merampas lebih sembilan kilometer jaring haram yang mengandungi 72 ekor totoaba mati.

Kini, ketika vaquita berada di ambang kepupusan, para konservasionis semakin mendesak jawapan tentang langkah segera bagi menyelamatkan spesies ini dengan usaha Mexico giat dinilai pada Persidangan Negara Pihak CITES yang berlangsung dari 24 November hingga 5 Disember di Samarkand, Uzbekistan.

Lorenzo Rojas Bracho, saintis Mexico yang lebih 30 tahun meneliti pemuliharaan vaquita berkata, fokus utama harus diberikan kepada penyediaan peralatan menangkap ikan alternatif yang selamat untuk vaquita.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN