ISLAMABAD: Pihak berkuasa Islamabad mengadakan sekatan jalan raya dan memberi amaran kepada pemilik kenderaan susulan krisis jerebu yang semakin memburuk di ibu negara Pakistan itu.
Pemandu trak Muhammad Afzal antara yang dikenakan tindakan selepas keretanya dipaksa membayar denda 1,000 rupee (RM16) kerana asap berlebihan dari ekzos, dengan amaran kenderaan boleh disita jika tidak diperbaiki.
Pegawai Agensi Perlindungan Alam Sekitar Pakistan (EPA), Dr Zaigham Abbas berkata, pemilik kenderaan yang tidak mematuhi arahan akan dihalang memasuki bandar.
Kawasan ibu negara itu merekodkan tujuh hari ‘sangat tidak sihat’bagi zarah PM2.5 melebihi 150 mikrogram setiap meter padu pada bulan ini, menurut pemantauan IQAir.
Bacaan purata PM2.5 tahun lalu mencapai 52.3 mikrogram, melebihi tahap selamat lima mikrogram yang disyorkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Punca utama pencemaran ialah sektor pengangkutan, dengan kenderaan peribadi lama menghasilkan 53 peratus daripada zarah berbahaya.
“Jerebu di Islamabad bukan asap industri, tetapi ekzos daripada jutaan perjalanan persendirian,” menurut laporan Pakistan Air Quality Initiative.
EPA sudah mengeluarkan lebih 300 kompaun dan menyita 80 kenderaan sejak penguatkuasaan bermula 7 Disember.
Stesen pemeriksaan pelepasan kenderaan turut diwujudkan, dengan kenderaan lulus diberi pelekat hijau sebagai tanda patuh.
Penduduk tempatan melahirkan kebimbangan langkah kerajaan mungkin tidak mencukupi.
Iftikhar Sarwar, 51, berkata dia dan keluarga kini terpaksa mengambil ubat alahan setiap pagi, manakala Sulaman Ijaz, menyifatkan krisis itu sebagai mencabul hak asas generasi akan datang untuk udara bersih.










