NEW YORK: Organ babi berpotensi menjadi alternatif lebih baik berbanding organ manusia pada masa depan, menurut pakar bedah terkemuka yang mengetuai ujian klinikal pemindahan organ haiwan ke manusia atau xenotransplantasi.
Pengarah Institut Transplantasi NYU Langone, Dr. Robert Montgomery berkata, pemindahan buah pinggang khinzir pertama dalam ujian klinikal itu berjaya dilaksanakan, manakala satu lagi prosedur dijangka dilakukan pada Januari ini melibatkan pesakit hidup.
Katanya, seramai enam pesakit akan menerima organ babi yang sudah melalui pengubahsuaian genetik pada 10 bahagian bagi mengurangkan risiko penolakan oleh sistem imun manusia, sebelum ujian itu diperluaskan kepada 44 pesakit lain tertakluk kepada kelulusan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA).
Pendekatan xenotransplantasi itu bertujuan menangani kekurangan organ manusia yang kronik, apabila ribuan pesakit meninggal dunia atau dikeluarkan daripada senarai menunggu sebelum sempat menerima organ penderma.
Peserta kajian terdiri daripada pesakit yang tidak layak menerima pemindahan buah pinggang manusia atau berada dalam senarai menunggu tetapi berisiko meninggal dunia dalam tempoh lima tahun sebelum menerima organ berkenaan.
Montgomery berkata, kekurangan organ manusia adalah masalah global yang sukar diselesaikan sepenuhnya meskipun pelbagai kaedah telah diperkenalkan bagi meningkatkan kadar pendermaan.
Beliau yang turut pernah menjalani pemindahan jantung akibat penyakit genetik berkata, teknologi pengubahsuaian gen pada haiwan membuka lembaran baharu dalam bidang perubatan pemindahan organ.
Katanya, pemindahan organ babi ke manusia buat pertama kali dilakukan pada 2021 membuktikan organ tersebut tidak ditolak serta-merta dan selamat digunakan, sekali gus membuka laluan kepada ujian melibatkan pesakit hidup.
Jelasnya, dengan pengubahsuaian gen berterusan, organ babi berpotensi menjadi lebih baik daripada organ manusia serta mengurangkan keperluan ubat penahan penolakan.










