PARIS: Muzium Louvre di Paris terus ditutup pada Rabu selepas petugasnya mengundi untuk meneruskan mogok yang bermula awal minggu ini, susulan kebimbangan terhadap isu keselamatan dan kekurangan kakitangan.
Menurut kesatuan sekerja CGT dan CFDT, keputusan itu dibuat dalam satu perhimpunan umum pekerja selepas keadaan kerja didakwa semakin merosot, khususnya selepas kejadian pecah masuk berprofil tinggi hampir dua bulan lalu.
Mogok tersebut dilancarkan pada Isnin selepas kira-kira 400 petugas sebulat suara membantah kekurangan kakitangan kronik, kemerosotan keadaan bangunan bersejarah itu serta tekanan belanjawan yang menjejaskan operasi harian muzium.
Muzium paling banyak dikunjungi di dunia itu terpaksa ditutup pada Isnin akibat mogok dan sekali lagi pada Selasa, yang merupakan hari penutupan mingguan kebiasaannya.
Wakil kesatuan berkata kekecewaan petugas semakin memuncak susulan beberapa insiden sejak kejadian pecah masuk pada 19 Oktober lalu, termasuk penutupan sementara sebuah galeri serta kerosakan buku-buku lama akibat kebocoran air.
Susulan mesyuarat krisis bersama kesatuan di Kementerian Kebudayaan, kerajaan Perancis mencadangkan beberapa langkah termasuk membatalkan rancangan pemotongan dana sebanyak 5.7 juta euro bagi 2026, membuat pengambilan kakitangan baharu serta meningkatkan bayaran pampasan.
Bagaimanapun, kesatuan menuntut sebarang kenaikan gaji dikekalkan, manakala pengurusan Louvre dijangka terus berdepan penelitian Parlimen susulan kegagalan keselamatan yang didedahkan oleh kejadian pecah masuk tersebut.










