Lithuania isytihar darurat, letih diserang belon penyeludup

Lithuania isytihar darurat, letih diserang belon penyeludup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

VILNIUS: Lithuania mengisytiharkan darurat dan meminta Parlimen meluluskan penggunaan tentera bagi menyokong polis serta pengawal sempadan susulan gelombang belon penyeludup dari Belarus yang berulang kali mengganggu trafik udara sejak beberapa bulan lalu.

Lapangan Terbang Vilnius dilaporkan beberapa kali ditutup akibat belon cuaca yang menurut Lithuania dihantar oleh penyeludup rokok dan dianggap sebagai satu serangan hibrid oleh Belarus yang merupakan sekutu rapat Russia.

“Keadaan darurat diisytiharkan bukan sahaja kerana gangguan terhadap penerbangan awam tetapi juga demi kepentingan keselamatan negara,” kata Menteri Dalam Negeri, Vladislav Kondratovic dalam mesyuarat kerajaan yang disiarkan secara langsung pada Selasa.

Data Kementerian Dalam Negeri menunjukkan sekitar 600 belon penyeludupan dan 200 dron telah memasuki ruang udara Lithuania tahun ini, mengganggu lebih 300 penerbangan, menjejaskan 47,000 penumpang, dan menyebabkan kira-kira 60 jam penutupan lapangan terbang.

Kondratovic berkata, jika permintaan mereka di Parlimen diluluskan, tentera akan diberi kuasa menghadkan akses ke kawasan tertentu, menghentikan dan memeriksa kenderaan, melakukan pemeriksaan terhadap individu, dokumen dan barangan, serta menahan mereka yang melawan atau disyaki melakukan jenayah.

Tentera juga dibenarkan menggunakan kekerasan bagi melaksanakan fungsi tersebut dan langkah darurat akan berkuat kuasa sehingga kerajaan memutuskan untuk menamatkannya.

Belarus menafikan dakwaan tersebut dan sebaliknya menuduh Lithuania melakukan provokasi termasuk menghantar dron yang didakwa menjatuhkan bahan terlarang yang dinafikan oleh Lithuania.

Presiden Belarus, Alexander Lukashenko berkata, Lithuania melebih-lebihkan insiden belon penyeludup itu dan menegaskan Minsk tidak mahu provokasi peperangan tercetus dengan negara jiran.

“Apa yang diperkatakan oleh Lithuania hari ini adalah mustahil dan tidak realistik. Isu ini dibesar-besarkan dan dipolitikkan,” katanya dalam ucapan yang disiarkan agensi berita kerajaan, Belta pada Selasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN