Prabowo mahu mansuh pilihan raya pemimpin wilayah

Prabowo mahu mansuh pilihan raya pemimpin wilayah

PRABOWO SUBIANTO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Cadangan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto supaya pemimpin wilayah dilantik dan bukannya dipilih oleh rakyat menerusi pilihan raya mencetus perdebatan hangat dalam kalangan parti politik.

Penganalisis memberi amaran langkah itu menjadi petanda kemunduran kepada demokrasi dan bukan senjata ampuh mengurangkan risiko rasuah.

Parti-parti politik berbelah bahagi sama ada Indonesia perlu meneruskan pemilihan langsung gabenor, datuk bandar dan ketua daerah (bupati), atau beralih kepada sistem pelantikan oleh Parlimen tempatan (DPRD).

Perdebatan ini susulan cadangan Prabowo pada 5 Disember lalu agar pilihan raya wilayah dimansuhkan dan digantikan dengan pelantikan oleh DPRD.

KEMBALIKAN ORDE BAHARU

Prabowo berhujah, pilihan raya wilayah menelan kos tinggi serta terdedah kepada pelbagai masalah, termasuk politik wang.

“Saya mengajak kekuatan politik supaya berani menawarkan penyelesaian kepada rakyat. Demokratik, tetapi tanpa membazirkan wang.

“Jika rakyat sudah memilih DPRD daerah dan wilayah, mengapa tidak biarkan mereka sahaja yang terus memilih gabenor dan bupati,” kata Prabowo ketika sambutan ulang tahun ke-61 Parti Golkar di Jakarta.

Indonesia mengadakan dua siri pilihan raya tahun lalu, satu pada Februari untuk memilih Presiden serta ahli Parlimen nasional, DPD, DPRD wilayah dan DPRD daerah manakala pada November pula untuk memilih 37 gabenor, 415 bupati dan 93 datuk bandar.

Prabowo kini mahu memansuhkan siri kedua tersebut namun, pakar memberi amaran langkah itu boleh mengembalikan Indonesia ke era pemerintahan bekas Presiden, Suharto yang memerintah secara autoritarian selama lebih tiga dekad sehingga 1998.

Di bawah Orde Baru Suharto yang dicirikan oleh pengaruh besar tentera dalam kehidupan awam, rakyat hanya boleh mengundi satu daripada tiga parti dibenarkan negara iaitu Golkar, Parti Pembangunan Bersatu (PPP) dan Parti Demokrasi Indonesia (PDI).

Rakyat tidak mempunyai kuasa memilih pemimpin wilayah dan perbandaran yang dilantik kerajaan pusat.

Jurucakap Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), Guntur Romli berkata, parti itu masih meneliti cadangan Prabowo tetapi cenderung menyokong pengekalan pemilihan langsung pemimpin wilayah.

“Jika DPRD melantik pemimpin wilayah, ia akan menimbulkan persoalan legitimasi kerana rakyat tidak merasakan mereka yang memilih pemimpin tersebut,” katanya kepada CNA.

PDI-P merupakan parti terbesar di Parlimen dengan 110 daripada 580 kerusi dan satu daripada dua parti di luar gabungan pemerintah Prabowo.

Golkar, parti kedua terbesar dengan 102 kerusi dan anggota gabungan Prabowo pula mendesak agar pemilihan langsung dimansuhkan.

“Antara pilihan tersebut ialah melantik pemimpin wilayah melalui DPRD. Namun kami juga mempertimbangkan pilihan hibrid yang menggabungkan elemen pemilihan tidak langsung era Orde Baru dengan sistem langsung hari ini,” kata Timbalan Pengerusi Golkar, Ahmad Doli Kurnia.

Ahli Parlimen Parti Keadilan Sejahtera (PKS), Mardani Ali Sera pula berkata, partinya mencari jalan tengah dengan membenarkan sebahagian jawatan wilayah dipilih secara langsung dan sebahagian lagi dilantik DPRD.

“Pemilihan langsung boleh mengetengahkan ‘permata’ tempatan walaupun dari parti kecil atau NGO. Ia sesuai untuk kawasan bandar, manakala di kawasan luar bandar, pemilihan oleh DPRD boleh dipertimbangkan,” katanya,seperti dipetik CNN Indonesia.

BUKAN SOLUSI AMPUH

Mardani berhujah kos mengadakan pilihan raya datuk bandar di kawasan bandar kecil lebih rendah berbanding daerah luar bandar yang luas dan sukar diakses. PKS memiliki 53 kerusi Parlimen dan merupakan sebahagian daripada gabungan pemerintah.

Prabowo turut mendakwa pemilihan langsung pemimpin wilayah yang dilaksanakan sejak 2005 merupakan ‘sumber utama rasuah’ dan memberi kelebihan kepada calon berkemampuan kewangan besar. Pilihan raya wilayah juga melibatkan kos tinggi.

Pilihan raya wilayah November 2024 kali pertama diadakan serentak di seluruh negara, menelan belanja 41 trilion rupiah (RM9.9 bilion), walaupun usaha penyelarasan dilakukan bagi 545 pilihan raya wilayah, daerah dan bandar pada satu hari. Prabowo berpendapat dana itu boleh digunakan untuk keperluan lain.

Namun, pakar berkata, manfaat pemilihan langsung pemimpin wilayah mengatasi kosnya dan pemansuhan tidak akan mengurangkan rasuah.

“Demokrasi tidak seharusnya dikompromi atas alasan kewangan,” kata Pakar Politik Universiti Paramadina, Hendri Satrio.

Penyelidik Persatuan Pilihan Raya dan Demokrasi (Perludem), Haykal turut menyifatkan cadangan untuk mengembalikan pelantikan oleh DPRD sebagai kemunduran kepada ekosistem demokrasi Indonesia.

Beliau menolak dakwaan pemilihan langsung menjadi punca rasuah, sambil menegaskan kos tinggi berpunca daripada pembiayaan politik ‘gelap’, bukan daripada sistem pemilihan itu sendiri.

Menurutnya, parti perlu bertanggungjawab jika calon mereka terlibat rasuah dan politik wang, serta menapis calon dengan lebih ketat.

“Menukar sistem hanya akan mengalihkan kos politik gelap ke DPRD,” katanya.

Pakar undang-undang pilihan raya Universiti Indonesia, Titi Anggraini berkata, langkah itu akan meningkatkan transaksi politik dan menjadikan ketua wilayah terikat kepada kepentingan elit DPRD yang melantik mereka.

Katanya, kerajaan sebaliknya perlu menumpukan kepada pemantauan dana kempen dan penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas.

“Jika prinsip demokrasi dilemahkan, ia akan menghakis kepercayaan rakyat dan berpotensi mencetuskan mobilisasi massa oleh mereka yang berasa terpinggir daripada politik elit,” katanya.

Pakar turut memberi amaran pemansuhan pemilihan langsung boleh memusatkan kuasa di peringkat pusat. Dalam pilihan raya wilayah November 2024, terdapat perpecahan dalam gabungan Prabowo di beberapa wilayah.

Dengan hampir semua parti utama menyertai gabungan pemerintah, Prabowo akan mempunyai pengaruh besar dalam menentukan pemimpin wilayah jika sistem itu diubah, sekali gus memusatkan kuasa dan mengurangkan suara rakyat dalam pembangunan setempat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN