STOCKHOLM: Pendapatan daripada jualan senjata dan perkhidmatan ketenteraan oleh 100 syarikat pengeluar terbesar dunia mencecah rekod AS$679 bilion (RM2.7 bilion) pada 2024, menurut data baharu yang dikeluarkan oleh Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI).
SIPRI berkata, ia didorong perang di Gaza dan Ukraine, ketegangan geopolitik global dan serantau yang semakin meningkat selain perbelanjaan ketenteraan yang lebih tinggi.
Situasi ini meningkatkan pendapatan syarikat-syarikat tersebut daripada jualan barangan dan perkhidmatan ketenteraan kepada pelanggan dalam dan luar negara sebanyak 5.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Peningkatan terbesar disumbangkan oleh syarikat yang berpangkalan di Eropah dan Amerika Syarikat (AS) dengan semua wilayah turut mencatat pertumbuhan tahun ke tahun.
Lockheed Martin, Northrop Grumman dan General Dynamics mengetuai senarai syarikat di AS, dengan pendapatan gabungan syarikat-syarikat senjata negara itu dalam 100 teratas meningkat 3.8 peratus kepada AS$334 bilion (RM1.4 bilion).
Sebanyak 30 daripada 39 syarikat AS mencatat peningkatan pendapatan dengan SpaceX milik jutawan, Elon Musk muncul dalam senarai pengeluar ketenteraan global teratas buat kali pertama selepas pendapatan pertahanannya meningkat lebih dua kali ganda berbanding 2023 kepada AS$1.8 bilion (RM7.39 bilion).
Namun, menurut SIPRI, kelewatan meluas dan perbelanjaan melampaui bajet terus membelenggu projek-projek utama seperti jet pejuang F-35, kapal selam kelas Columbia dan Virginia, serta peluru berpandu balistik antara benua Sentinel.
Tidak termasuk Russia, terdapat 26 syarikat senjata di Eropah dalam 100 teratas, 23 daripadanya mencatat peningkatan pendapatan daripada jualan senjata dan peralatan. Jumlah pendapatan keseluruhan mereka meningkat 13 peratus kepada AS$151 bilion (RM620 bilion).
Selepas meningkatkan pendapatannya sebanyak 193 peratus kepada AS$3.6 bilion (RM14.79 bilion) melalui pengeluaran peluru artileri untuk Ukraine, syarikat Czech Czechoslovak Group merekodkan peningkatan peratusan paling ketara berbanding mana-mana syarikat lain dalam 100 teratas pada 2024.
Ketika Ukraine berdepan serangan tanpa henti Russia di bahagian timurnya, syarikat JSC Ukrainian Defense Industry meningkatkan pendapatan pertahanannya sebanyak 41 peratus kepada AS$3 bilion (RM12.3 bilion).
Syarikat-syarikat senjata Eropah banyak melabur dalam kapasiti pengeluaran baharu bagi menghadapi ancaman Russia, namun usaha mendapatkan bahan mentah khususnya apabila melibatkan pergantungan kepada mineral kritikal menjadi cabaran besar ketika China turut mengetatkan kawalan eksport.
Hanya dua syarikat senjata Russia, Rostec dan United Shipbuilding Corporation tersenarai dalam indeks tersebut.
Namun masing-masing turut meningkatkan pendapatan gabungan sebanyak 23 peratus kepada AS$31.2 bilion (RM128 bilion) walaupun berdepan sekatan yang dipimpin Barat akibat perang Ukraine.
ASIA CATAT PENURUNAN
Asia dan Oceania pula mencatat penurunan dimana masalah dalam industri senjata China merendahkan jumlah keseluruhan jualan di wilayah tersebut.
Tahun lalu, pengeluar senjata di Asia dan Oceania masih mencatat pendapatan AS$130 bilion (RM534 bilion) selepas penurunan 1.2 peratus berbanding 2023.
Penurunan serantau itu disebabkan kejatuhan 10 peratus dalam pendapatan lapan syarikat senjata China dalam ranking tersebut, terutama penurunan 31 peratus dalam pendapatan NORINCO, pengeluar utama sistem darat China.
“Pelbagai dakwaan rasuah dalam perolehan senjata China menyebabkan banyak kontrak senjata ditangguhkan atau dibatalkan pada 2024.
“Ini meningkatkan ketidaktentuan mengenai status usaha pemodenan ketenteraan China dan bila keupayaan baharu akan direalisasikan,” kata Pengarah Program Perbelanjaan Ketenteraan dan Pengeluaran Senjata SIPRI, Nan Tian.
Namun, pengeluar senjata Jepun dan Korea Selatan mencatat peningkatan mendadak hasil permintaan kukuh daripada pelanggan Eropah serta pelanggan domestik, di tengah-tengah ketegangan berterusan melibatkan Taiwan dan Korea Utara.
Lima syarikat Jepun dalam ranking tersebut meningkatkan pendapatan gabungan mereka sebanyak 40 peratus kepada AS$13.3 bilion (RM54.65 bilion), manakala empat pengeluar Korea Selatan mencatat peningkatan 31 peratus kepada AS$14.1 bilion (RM57.93 bilion).
Syarikat senjata terbesar Korea Selatan, Hanwha Group, merekodkan lonjakan 42 peratus pada 2024
ISRAEL UNTUNG BESAR
Buat pertama kali, sembilan syarikat senjata dalam 100 teratas berpusat di Asia Barat. Sembilan syarikat itu mengumpulkan pendapatan gabungan AS$31 bilion (RM127.4 bilion) pada 2024, menunjukkan peningkatan serantau sebanyak 14 peratus.
Tiga syarikat senjata Israel dalam ranking itu meningkatkan pendapatan gabungan mereka sebanyak 16 peratus kepada AS$16.2 bilion (RM66.57 bilion) di tengah-tengah perang genosid di Gaza yang membunuh hampir 70,000 rakyat Palestin dan memusnahkan sebahagian besar wilayah terkepung itu.
Elbit Systems pula meraih keuntungan sebanyak AS$6.28 bilion (RM25.80 bilion), diikuti Israel Aerospace Industries dengan AS$5.19 bilion (RM24 bilion), dan Rafael Advanced Defense Systems dengan AS$4.7 bilion (RM19.31 bilion).
SIPRI berkata, terdapat peningkatan minat antarabangsa terhadap kenderaan udara tanpa pemandu dan sistem anti-dron Israel.











