Iran dikritik pamer robot humanoid guna manusia sebenar

Iran dikritik pamer robot humanoid guna manusia sebenar

DUA ‘robot humanoid’ yang dipamerkan di Ekspo Teknologi Kish Inox di Iran. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Industri robotik Iran menjadi bahan jenaka dalam talian selepas beberapa klip tular menunjukkan dua robot humanoid berkostum dengan corak kod binari 0 dan 1 yang akhirnya didedahkan adalah manusia sebenar.

Robot palsu itu mungkin tidak mencetuskan sensasi besar jika bukan kerana ia dipamerkan di Ekspo Teknologi Kish Inox tahun ini.

Dua individu tersebut, seorang lelaki dan seorang wanita mempersembahkan diri mereka sebagai mesin canggih kepada pengunjung.

Namun, rakaman video berdefinisi tinggi yang dirakam di acara itu mendedahkan hakikat sebenar melalui parut jerawat, mata berkelip, nafas, serta pergerakan robotik yang kelihatan janggal dan tidak meyakinkan.

Dalam satu klip media sosial, robot wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai ‘Miss Data’ memberitahu seorang pengunjung ia ‘tinggal dalam ruang blockchain’ dan merupakan koleksi data yang berfungsi bersama dalam kod data yang dikongsi bersama rakannya.

Menurut laman web Iran, Zoomit, apabila ditanya mengenai robot palsu tersebut, Hossein Afshin, seorang pegawai kanan Sains, Teknologi dan Ekonomi Berasaskan Pengetahuan Iran, menjelaskan idea itu datang daripada sebuah syarikat swasta dan tidak melibatkan pihak berkuasa Iran.

“Saya hanya tahu satu daripada syarikat melakukan ini untuk tujuan pengiklanan mereka sendiri. Jadi, mereka tiada bantahan dan pastinya perlu bertanggungjawab.

“Ini bukan sesuatu yang dirancang oleh pembuat dasar pameran Innotex Kish dan bukan juga idea pihak pameran untuk menggunakan manusia sebagai robot,” kata Afshin.

Penggunaan robot palsu di ekspo teknologi sebelum ini sering kali berlaku, namun kali ini ia dianggap antara yang paling tidak meyakinkan.

Ia berbeza dengan robot palsu yang ditampilkan di China beberapa tahun lalu yang benar-benar menarik perhatian pengunjung. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×