NEW DELHI: Syarikat penerbangan India, IndiGo, kini berdepan kemarahan penumpang yang semakin memuncak berikutan kelewatan mengesan dan menghantar ribuan beg yang terbiar selepas insiden gangguan penerbangan besar-besaran minggu lalu.
IndiGo yang menguasai 65 peratus pasaran domestik, telah memohon maaf selepas membatalkan lebih 2,000 penerbangan akibat kegagalan merancang lebih awal terhadap peraturan baharu mengenai tempoh rehat juruterbang, yang menyebabkan kekurangan kru.
Gangguan itu menjejaskan puluhan ribu penumpang, mengganggu jadual perjalanan, percutian dan majlis perkahwinan antara krisis terburuk dalam sejarah penerbangan India.
Namun pembatalan saat akhir dan penggunaan berbilang penerbangan sambungan untuk mengalihkan penumpang turut menyebabkan ribuan bagasi tersalah letak, termasuk yang mengandungi barang penting seperti pasport, kunci rumah dan ubat-ubatan.
Media sosial dibanjiri gambar beg bertanda keselamatan bertimbun di terminal di lapangan terbang New Delhi, Mumbai dan Bengaluru, dengan ramai penumpang meluahkan rasa kecewa kepada pasukan sokongan IndiGo di platform X.
Dalam kenyataan pada Ahad, kerajaan India mengarahkan IndiGo mengesan dan menghantar semua bagasi yang terpisah daripada penumpang akibat gangguan dalam tempoh 48 jam. Menurut kerajaan, sehingga Sabtu syarikat itu telah menghantar 3,000 beg kepada pemilik di seluruh negara.
Vikash Bajpai, 47, berkata, beliau telah menunggu selama empat hari untuk mendapatkan semula bagasi miliknya dan ibunya yang berusia 72 tahun, yang didaftar masuk ketika pulang ke Pune dari Kanpur selepas menghadiri majlis perkahwinan.
Mereka hanya tiba di rumah selepas bermalam di sebuah hotel di New Delhi, menaiki beberapa penerbangan sambungan ke Mumbai, kemudian menaiki teksi ke Pune. Namun setibanya di Mumbai, bagasi mereka tidak kelihatan.
“Saya diberikan satu nombor untuk dihubungi, tetapi tiada siapa yang menjawab. Dalam bagasi itu ada pakaian dan kasut perkahwinan yang mahal, serta ubat-ubatan ibu saya,” katanya, menganggarkan nilai kandungan kira-kira 90,000 rupee (RM4,116).
Seorang eksekutif kanan IndiGo, yang enggan dikenali berkata, syarikat itu sedang bekerja tanpa henti untuk meleraikan lambakan bagasi dan memastikan semuanya dihantar kepada pelanggan. -ARABNEWS










