Hezbollah tidak akan lucut senjata tanpa keputusan Iran - Utusan Malaysia

Hezbollah tidak akan lucut senjata tanpa keputusan Iran

PEJUANG Hezbollah mengambil bahagian dalam latihan ketenteraan di Aaramta, Lubnan yang bersempadan dengan Israel. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Menteri Luar Lubnan, Youssef Rajji, menegaskan bahawa keputusan akhir mengenai sama ada kumpulan bersenjata disokong Lubnan, Hezbollah akan menyerahkan senjatanya terletak pada Iran.

Beliau berkata, isu tersebut dibangkitkan dalam perbincangan dengan rakan sejawatnya dari Iran, Abbas Araghchi.

“Hezbollah tidak akan menyerahkan senjatanya tanpa keputusan dari Iran.

“Pada masa ini, (Hezbollah) lebih menumpukan kepada pemeliharaan diri dan mendapatkan semula kuasa,” kata Rajji kepada rangkaian berita Arab Saudi, Al Arabiya.

Katanya, pelucutan senjata Hezbollah dan pembubaran struktur ketenteraannya adalah tuntutan Lubnan sendiri, tanpa mengira tekanan antarabangsa.

Bertentangan dengan dakwaan Hezbollah, Rajji berkata senjata kumpulan itu gagal menyokong Gaza, membebaskan Baitulmuqaddis atau mempertahankan Lubnan daripada serangan Israel.

Beliau juga menegaskan Hezbollah mencabar kerajaan setiap hari melalui kenyataan ketuanya, Sheikh Naim Qassem, mengenai penambahan semula senjata.

Kenyataan itu dibuat sehari selepas Qassem menuduh Beirut memberi ‘konsesi’ percuma kepada Israel dengan menghantar seorang utusan awam dan bukan utusan ketenteraan untuk rundingan yang ditetapkan di bawah perjanjian gencatan senjata Israel-Hezbollah pada 27 November tahun lalu.

Rajji berkata, beliau berharap penghantaran utusan awam, diplomat Lubnan Simon Karam, adalah langkah positif yang boleh menyelamatkan Lubnan daripada operasi ketenteraan berskala besar oleh Israel.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa Lubnan masih jauh daripada menandatangani perjanjian damai dengan Israel, dan Karam hanya mengadakan perbincangan mengenai isu ketenteraan seperti penghentian serangan Israel di selatan Lubnan dan pengunduran tentera Israel (IDF) dari kawasan tersebut. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN