WASHINGTON: Keputusan Presiden FIFA, Gianni Infantino, menganugerahkan Hadiah Keamanan FIFA yang julung kali diperkenalkan kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mencetuskan kritikan hebat dan menimbulkan persoalan mengenai pendirian berkecuali badan induk bola sepak dunia itu dalam urusan politik antarabangsa.
Anugerah tersebut disampaikan pada majlis undian rasmi Piala Dunia 2026 di Kennedy Center, Washington dengan Infantino memuji Trump sebagai ‘usaha luar biasa mempromosikan keamanan dan perpaduan global’.
Beliau turut mendakwa Trump layak menerima Hadiah Nobel Keamanan 2025 atas peranan dalam rundingan gencatan senjata Gaza.
Namun penganugerahan itu dibuat kurang 24 jam selepas AS melancarkan serangan udara di Caribbean yang mengorbankan beberapa nyawa, sekali gus mencetuskan kemarahan pelbagai pihak yang mempersoalkan kesesuaian memberi penghormatan kepada seorang pemimpin yang masih terpalit kontroversi ketenteraan.
Bekas pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Craig Mokhiber, menggelar tindakan itu amat memalukan sambil menggesa Israel digantung daripada kejohanan bola sepak antarabangsa atas dakwaan jenayah perang di Gaza.
Penganalisis dan aktivis hak asasi manusia pula menyifatkan langkah FIFA itu sebagai bermotifkan politik dan menunjukkan standard berganda.
Mereka berhujah FIFA sebelum ini begitu tegas menghukum pemain yang menyampaikan mesej politik di atas padang, namun kini terbuka memberi pengiktirafan kepada figura politik yang kontroversial.
Tindakan itu sekadar mengukuhkan persepsi FIFA semakin condong kepada kuasa geopolitik tertentu.
Infantino dalam reaksinya mempertahankan keputusan tersebut, dengan menegaskan anugerah itu bertujuan menghargai individu yang didakwa menyumbang kepada keamanan global.
Beliau enggan mengulas lanjut berhubung kritikan yang semakin meningkat terhadap kepimpinannya.










