NEW DELHI: Pihak berkuasa di ibu negara India, Delhi pada Rabu melaksanakan langkah ketat bagi mengekang pencemaran udara, termasuk larangan terhadap kenderaan yang tidak mematuhi piawaian kawalan pelepasan terkini serta pengawalan kehadiran kakitangan di pejabat kerajaan dan swasta.
Indeks Kualiti Udara (AQI) di wilayah Delhi yang menempatkan kira-kira 30 juta penduduk, kekal pada tahap teruk sejak beberapa hari lalu dan kerap melepasi paras 450.
Keadaan diburukkan lagi dengan kehadiran kabus cetek di beberapa kawasan bandar, sekali gus menjejaskan jarak penglihatan serta operasi penerbangan dan perkhidmatan kereta api.
Susulan itu, Suruhanjaya Pengurusan Kualiti Udara (CAQM) mengaktifkan tahap empat, iaitu tahap tertinggi di bawah Pelan Tindakan Tindak Balas Berperingkat (GRAP) bagi Delhi dan kawasan sekitarnya sejak Sabtu lalu.
Sekatan yang dikenakan termasuk larangan kemasukan trak diesel lama ke dalam bandar, penggantungan semua aktiviti pembinaan termasuk projek awam, serta pelaksanaan sistem persekolahan hibrid.
Menteri kerajaan tempatan, Kapil Mishra, mengumumkan pada Rabu bahawa semua pejabat kerajaan dan swasta di Delhi hanya dibenarkan beroperasi dengan 50 peratus kehadiran fizikal, manakala selebihnya perlu bekerja dari rumah.
Selain itu, semua pekerja binaan berdaftar, kebanyakannya pekerja bergaji harian akan menerima pampasan sebanyak 10,000 rupee (RM452) berikutan penggantungan aktiviti pembinaan, katanya dalam satu sidang media di Delhi.
Pada Selasa, kerajaan turut menguatkuasakan langkah ketat terhadap kenderaan dengan melarang penggunaan kenderaan yang tidak mematuhi piawaian kawalan pelepasan terkini di bandar tersebut.
“Kerajaan kami komited untuk menyediakan udara bersih kepada penduduk Delhi. Kami akan mengambil langkah tegas dalam beberapa hari akan datang bagi memastikan perkara ini,” kata Menteri Alam Sekitar Delhi, Manjinder Singh Sirsa.
Masalah pencemaran udara merupakan isu tahunan di Delhi dan kawasan sekitarnya setiap musim sejuk, apabila udara sejuk dan padat memerangkap pelepasan daripada kenderaan, tapak pembinaan serta pembakaran sisa tanaman di negeri jiran. Keadaan ini menyebabkan tahap pencemaran antara yang tertinggi di dunia dan mendedahkan penduduk kepada risiko kesihatan pernafasan yang serius.
Kawasan yang dihuni kira-kira 30 juta penduduk itu sering diselubungi jerebu tebal dengan bacaan AQI mencecah paras melebihi 450, sedangkan bacaan di bawah 50 dianggap baik.










