Cucu John F. Kennedy meninggal dunia pada usia 35 tahun

Cucu John F. Kennedy meninggal dunia pada usia 35 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Tatiana Schlossberg, cucu kepada bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) John F. Kennedy, meninggal dunia pada usia 35 tahun.

Keluarganya mengumumkan pemergian beliau menerusi satu hantaran di media sosial yang dikongsi oleh John F. Kennedy Library Foundation.

“Tatiana kesayangan kami telah menghembuskan nafas terakhir pagi ini. Dia akan sentiasa berada di dalam hati kami,” tulis keluarganya.

Pada November lalu, Schlossberg yang merupakan seorang wartawan iklim mendedahkan beliau didiagnosis menghidap sejenis kanser agresif.

Dalam sebuah esei, beliau berkata, doktor memaklumkan jangka hayatnya kurang daripada setahun.

Schlossberg ialah anak kepada pereka terkenal, Edwin Schlossberg dan Diplomat, Caroline Kennedy.

Dalam sebuah artikel yang diterbitkan bulan lalu oleh The New Yorker bertajuk ‘A Battle With My Blood’, Schlossberg mendedahkan didiagnosis menghidap leukemia myeloid akut pada Mei 2024, tidak lama selepas melahirkan anak keduanya.

“Fikiran pertama saya ialah anak-anak saya yang wajah mereka seakan terukir kekal di sebalik kelopak mata saya, tidak akan lagi mengingati saya,” tulisnya.

Schlossberg turut menceritakan rawatan yang diterimanya, termasuk kemoterapi dan pemindahan sumsum tulang, namun berkongsi doktor tidak memberikan prognosis yang memberangsangkan.

Beliau juga menulis mengenai kesakitan yang dibimbangi akan ditanggung keluarganya akibat pemergiannya, selepas melalui pelbagai tragedi peribadi.

Datuknya, Kennedy, dibunuh pada 1963, manakala bapa saudaranya, John F Kennedy Jr, terkorban dalam nahas kapal terbang pada 1999.

Adik lelakinya, Jack Schlossberg, kini bertanding untuk kerusi Kongres di New York.

“Sepanjang hidup saya, saya cuba menjadi insan yang baik, menjadi pelajar yang baik, kakak yang baik dan anak yang baik, serta melindungi ibu saya dan tidak pernah membuatnya sedih atau marah.

“Kini saya telah menambah satu lagi tragedi dalam hidupnya, dalam kehidupan keluarga kami, dan tiada apa yang boleh saya lakukan untuk menghentikannya,” tulis Schlossberg.

Dalam esei berkenaan, Schlossberg turut menyatakan kekecewaannya terhadap pelantikan bapa saudaranya, Robert F Kennedy Jr, untuk mengetuai Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia.

Sebelum esei mengenai diagnosisnya mendapat perhatian meluas, Schlossberg membina kerjaya yang berjaya sebagai wartawan iklim.

Beliau merupakan penulis buku Inconspicuous Consumption: The Environmental Impact You Don’t Know You Have serta pernah menulis mengenai isu iklim dan bidang lain untuk The New York Times. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN