DHAKA: Bekas Perdana Menteri Bangladesh, Begum Khaleda Zia meninggal dunia pada usia 80 tahun awal pagi Selasa, menurut kenyataan Parti Nasional Bangladesh (BNP).
BNP memaklumkan Khaleda Zia menghembuskan nafas terakhir pada pukul 6 pagi waktu tempatan, sejurus selepas menunaikan solat Subuh.
Khaleda Zia yang juga Pengerusi BNP, sebelum ini berpotensi besar untuk kembali menerajui negara menjelang pilihan raya umum yang dijadualkan pada Februari 2026, meskipun berdepan masalah kesihatan berpanjangan.
Pada November lalu, beliau tetap menyatakan hasrat untuk berkempen dalam pilihan raya tersebut, yang bakal menjadi pilihan raya pertama sejak kebangkitan rakyat menjatuhkan seteru politiknya, Sheikh Hasina, tahun lalu.
BNP ketika itu dianggap sebagai antara parti pilihan utama rakyat.
Bagaimanapun, keadaan kesihatan Khaleda Zia semakin merosot selepas dimasukkan ke hospital pada akhir November akibat pelbagai komplikasi kesihatan, meskipun menerima rawatan rapi.
Perdana Menteri interim, Muhammad Yunus, sebelum ini menyifatkan beliau sebagai sumber inspirasi besar kepada negara.
Khaleda Zia pernah dipenjarakan pada 2018 bagi kes rasuah di bawah pentadbiran Sheikh Hasina dan dibebaskan tahun lalu selepas perubahan politik besar di negara itu.
Anak lelakinya, Tarique Rahman, yang baru pulang selepas 17 tahun dalam buangan sendiri, dijangka mengetuai BNP dalam pilihan raya akan datang dan disebut-sebut sebagai calon perdana menteri sekiranya parti itu memenangi majoriti.










