SAFI: Sekurang-kurangnya 37 orang maut akibat banjir kilat yang melanda bandar pesisir Safi di Maghribi, menurut pegawai tempatan, ketika operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan.
Maghribi yang mengalami kekeringan teruk, sering berdepan cuaca ekstrem, namun banjir Ahad lalu di Safi dilaporkan sebagai bencana paling maut dalam lebih sedekad.
Arus lumpur deras menghanyutkan kereta dan tong sampah dari jalan-jalan bandar yang terletak kira-kira 300 kilometer selatan ibu negara Rabat.
Jabatan Meteorologi Nasional (DGM) memberi amaran, ribut petir dijangka berterusan dalam tiga hari akan datang di beberapa kawasan, termasuk Safi.
Menurut pegawai tempatan, tujuh mangsa yang terselamat masih menerima rawatan di Hospital Mohammed V, dengan dua daripada mereka berada di unit rawatan rapi.
Sekolah-sekolah di bandar itu ditutup sekurang-kurangnya tiga hari akibat lumpur dan serpihan yang menyekat jalan.
“Ia terlalu deras. Kami tidak dapat tidur sepanjang malam. Kami kehilangan semuanya, termasuk buku teks anak-anak saya,” kata ibu kepada enam anak, Hanane Nasreddine dengan suaranya bergetar.
Seorang lagi penduduk, Nezha El Meghouari berkata, dia hanya sempat melarikan diri sehelai sepinggang dari rumah.
“Saya kehilangan semua pakaian. Hanya jiran yang memberikan sedikit untuk menutup diri. Saya tiada apa-apa lagi. Saya hilang semuanya,” katanya.
Sekurang-kurangnya 70 rumah dan premis perniagaan di pusat bandar bersejarah dilanda banjir, sementara pemilik kedai, Abdelkader Mezraoui, 55, berkata, ekonomi runcit di bandar itu terjejas teruk.
“Pemilik kedai perhiasan kehilangan semua stok mereka begitu juga pemilik kedai pakaian,” katanya, menyeru pihak berkuasa memberikan pampasan rasmi bagi menyelamatkan perniagaan.
Safi terkenal sebagai pusat seni dan kraftangan, terutamanya tembikar terracotta, dan jalan-jalannya dipenuhi pecahan mangkuk dan tajine.
Pejabat pendakwa raya Maghribi mengumumkan siasatan dibuka untuk menentukan sama ada terdapat pihak yang bertanggungjawab atas skala kerosakan, menurut agensi berita rasmi MAP.
Dalam ucapan di Parlimen, Perdana Menteri, Aziz Akhannouch berkata, 37 milimeter hujan turun dalam tempoh singkat dan melanda daerah bersejarah Bab Chabaa yang dilintasi sungai, menyebabkan kematian ramai peniaga dan pekerja.-AFP










