Australia mula kuatkuasakan larangan media sosial, dapat reaksi positif ibu bapa

Australia mula kuatkuasakan larangan media sosial, dapat reaksi positif ibu bapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYDNEY: Australia pada Rabu menjadi negara pertama yang melarang kanak-kanak bawah 16 tahun daripada mengakses media sosial, dalam langkah yang disambut baik ibu bapa dan kumpulan perlindungan kanak-kanak, tetapi dikritik syarikat teknologi besar serta pejuang kebebasan bersuara.

Bermula tengah malam Selasa, 10 platform terbesar termasuk TikTok, YouTube milik Alphabet serta Instagram dan Facebook milik Meta diperintahkan menyekat akses kanak-kanak atau berdepan denda sehingga A$49.5 juta (RM135.5 juta) di bawah undang-undang baharu yang mendapat perhatian teliti pengawal selia di seluruh dunia.

Perdana Menteri, Anthony Albanese menyifatkannya sebagai hari membanggakan bagi keluarga dan berkata, undang-undang itu membuktikan dasar awam mampu mengekang bahaya dalam talian yang berkembang lebih pantas daripada perlindungan tradisional.

“Ini akan membawa perubahan besar. Ia antara perubahan sosial dan budaya terbesar yang pernah kita hadapi.

“Ia satu pembaharuan mendalam yang akan memberi kesan berpanjangan di seluruh dunia,” kata Albanese pada sidang media.

Dalam satu video, Albanese menggesa kanak-kanak supaya mencuba sukan baharu, alat muzik baharu, atau membaca buku yang lama tersimpan di rak menjelang cuti musim panas persekolahan Australia yang bermula hujung bulan ini.

Beberapa jam sebelum larangan itu bermula, ramai daripada kira-kira satu juta kanak-kanak terjejas dilihat memuat naik mesej ucapan selamat tinggal kepada pengikut mereka di media sosial.

Penguatkuasaan ini menutup perdebatan selama setahun mengenai sama ada mana-mana negara mampu secara praktikal menghalang kanak-kanak daripada menggunakan platform yang telah sebati dalam kehidupan harian.

Ia sekali gus menjadi ujian langsung kepada kerajaan di seluruh dunia yang kecewa dengan kelewatan syarikat media sosial melaksanakan langkah mengurangkan mudarat.

Kerajaan haluan kiri pimpinan Albanese mencadangkan undang-undang bersejarah itu berasaskan penyelidikan yang menunjukkan bahaya terhadap kesihatan mental akibat penggunaan media sosial berlebihan dalam kalangan remaja awal, termasuk penyebaran maklumat palsu, buli dan gambaran tubuh yang memudaratkan. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×