WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengugut kenakan sekatan baharu terhadap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sekiranya tribunal itu enggan memberi jaminan tidak akan menyiasat Trump dan pegawai kanan beliau.
AS juga menuntut ICC menghentikan siasatan terhadap pemimpin Israel berkaitan konflik Gaza dan menamatkan siasatan terdahulu terhadap tentera AS di Afghanistan.
Sekiranya tuntutan ini tidak dipenuhi, AS berkemungkinan mengenakan sekatan tambahan ke atas pegawai ICC atau tribunal itu sendiri.
Langkah ini dijangka meningkatkan ketegangan antara AS dan ICC yang sering dikritik Washington kerana didakwa mencabuli kedaulatan negara.
Menurut sumber Rumah Putih, AS telah menyampaikan tuntutan ini kepada negara anggota ICC dan tribunal itu sendiri.
ICC mempunyai bidang kuasa untuk mendakwa individu termasuk ketua negara bagi dakwaan jenayah perang. Tahun lalu, hakim ICC mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, bekas ketua pertahanan Yoav Gallant dan pemimpin Hamas Ibrahim al-Masri berhubung perang Gaza.
Sumber memaklumkan, terdapat khabar angin tribunal boleh menyasarkan Trump dan pegawai kanan beliau pada 2029 selepas penggal presiden berakhir.
Sekiranya sekatan dikenakan terhadap tribunal, operasi harian ICC boleh terganggu, termasuk pembayaran kakitangan dan akses akaun bank serta perisian pejabat.
Mana-mana pindaan kepada Statut Rom bagi memberi imuniti khusus memerlukan kelulusan dua pertiga negara anggota, manakala perubahan besar terhadap bidang kuasa tribunal memerlukan majoriti lebih besar.
Tindakan AS ini boleh menjejaskan prinsip asas tribunal dalam menegakkan keadilan antarabangsa.










