MOSCOW: Amerika Syarikat (AS) merancang membangunkan Semenanjung Gaza sebagai sebuah resort futuristik menerusi pelan pembinaan semula yang dibentangkan kepada bakal pelabur antarabangsa.
Menurut laporan Sputnik/RIA Novosti yang memetik akhbar The Wall Street Journal, menantu Presiden AS, Donald Trump, Jared Kushner bersama utusan khas AS, Steve Witkoff menyediakan draf pelan induk pembinaan semula Gaza yang dinamakan Project Sunrise.
Pelan itu menyaksikan Washington komited menanggung kira-kira 20 peratus daripada kos pembinaan semula Gaza dalam tempoh 10 tahun, selain mendapatkan pembiayaan daripada pelabur swasta dan beberapa kerajaan asing.
Project Sunrise membayangkan Gaza dibangunkan sebagai sebuah metropolis berteknologi tinggi, menampilkan resort mewah di pesisir pantai, sistem rel berkelajuan tinggi serta grid pintar yang dioptimumkan menggunakan kecerdasan buatan (AI).
Bagaimanapun, laporan itu tidak memperincikan lokasi penempatan kira-kira dua juta penduduk Palestin sepanjang tempoh pelaksanaan projek berkenaan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kesan kemanusiaan rancangan tersebut.
Menurut The Wall Street Journal, Kushner dan Witkoff telah membentangkan draf projek itu kepada bakal pelabur serta beberapa kerajaan asing, termasuk Turkiye dan Mesir.
Sementara itu, pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini memberi amaran bahawa proses pembersihan Gaza daripada peluru tidak meletup dan runtuhan akibat peperangan boleh mengambil masa puluhan tahun, dengan anggaran kos pembinaan semula mencecah AS$70 bilion.










