DHAKA: Sekurang-kurangnya enam anggota pengaman Bangladesh terbunuh manakala lapan lagi cedera dalam serangan dron di sebuah pangkalan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Abyei, Sudan, menurut Tentera Bangladesh pada Sabtu.
“Keadaan di kawasan berkenaan masih tidak stabil dan pertempuran dengan pengganas masih berterusan,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut memaklumkan, pihak berkuasa berusaha menyediakan rawatan perubatan serta menjalankan operasi menyelamat bagi mangsa yang cedera.
Bangladesh merupakan antara penyumbang terbesar kepada misi pengaman PBB, dengan tenteranya telah lama ditempatkan di Abyei, sebuah wilayah bergolak yang menjadi pertikaian antara Sudan dan Sudan Selatan.
Kesemua mangsa adalah warga Bangladesh yang berkhidmat di bawah Pasukan Keselamatan Interim PBB untuk Abyei (UNISFA).
“Serangan yang menyasarkan anggota pengaman PBB boleh dianggap sebagai jenayah perang di bawah undang-undang antarabangsa,” kata Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, yang menggesa pihak bertanggungjawab terhadap serangan itu dibawa ke muka pengadilan.
Tentera Sudan menyalahkan Pasukan Sokongan Pantas (RSF), sebuah kumpulan separa tentera yang terkenal dan kini berperang dengan tentera kerajaan bagi menguasai negara itu selama lebih dua tahun.
“Serangan tersebut jelas mendedahkan pendekatan subversif militia pemberontak dan pihak-pihak di belakangnya,” menurut kenyataan tentera Sudan. -AGENSI










