NEW YORK: Xania Monet mencatat sejarah sebagai artis kecerdasan buatan (AI) pertama yang berjaya mencabar keupayaan penyanyi manusia dalam industri muzik, apabila debutnya memasuki carta radio Billboard di Amerika Syarikat (AS).
Pada 1 November, lagu dendangan Monet berada di kedudukan ke-30 dalam carta lagu R&B malah, berjaya memperoleh kontrak rakaman bernilai AS$3 juta (RM12.38 juta).
Sejak melancarkan lagu pertamanya pada musim panas 2025, Monet muncul dalam beberapa carta Billboard, termasuk Hot Gospel Songs dengan lagu Let Go, Let God dan Hot R&B Songs dengan lagu How Was I Supposed to Know yang tular di TikTok kini.
Popularitinya semakin meningkat dengan lebih daripada 146,000 pengikut di Instagram, menunjukkan para peminat semakin terbuka menerima idea artis AI walaupun industri muzik masih berdebat mengenainya.
Dalam tempoh empat bulan sejak debut muziknya, Monet melancarkan 44 lagu di Spotify dan meraih 1.2 juta pengikut di platform itu serta hampir 800,000 lagi di pelbagai media sosial lain.
Profil artis di Apple Music menjelaskan Monet adalah figura AI yang dipersembahkan sebagai penyanyi R&B kontemporari dengan gaya ekspresif, berakar dari gereja dan bersahaja seperti Keyshia Cole, K. Michelle dan Muni Long.
Monet direka oleh Telisha Nikki Jones, seorang penyair dari Mississippi yang menulis lirik-lirik dan lagu dengan bantuan Suno, sebuah platform generatif AI untuk penciptaan muzik.
Menurut Jones, Monet adalah lanjutan dari dirinya sendiri, membantunya membawa lirik dan puisi yang diinspirasikan daripada pengalaman hidup ke dunia nyata.
“Kami menggunakan AI sebagai alat untuk meningkatkan karya seni kami. Kami menghasilkan muzik R&B sebenar dengan lirik dan pengalaman hidup yang tulen. AI membantu menyampaikan mesej itu kepada dunia, tetapi seni dan mesej di sebaliknya adalah sepenuhnya manusia,” kata Pengurus Monet, Romel Murphy kepada CNN.










