Wanita muda hampir dua kali ganda berisiko hidap kanser berbanding lelaki - Utusan Malaysia

Wanita muda hampir dua kali ganda berisiko hidap kanser berbanding lelaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Kadar kanser dalam kalangan wanita di Amerika Syarikat (AS) kini menunjukkan peningkatan ketara, dengan wanita muda hampir dua kali ganda lebih berisiko berbanding lelaki muda, menurut laporan terbaharu American Cancer Society (ACS).

Laporan yang diterbitkan dalam CA: A Cancer Journal for Clinicians itu mendapati peningkatan dalam kalangan wanita didorong terutamanya oleh dua jenis kanser utama iaitu kanser payudara dan tiroid yang kini merangkumi hampir separuh daripada semua diagnosis kanser bagi wanita di bawah umur 50 tahun.

Dalam masa yang sama, kadar kanser dalam kalangan lelaki menunjukkan penurunan sejak awal abad ini sebelum mendatar, manakala kadar dalam kalangan wanita terus meningkat secara konsisten.

Pada 2021, wanita bawah 50 tahun di AS mencatat kadar insiden kanser 82 peratus lebih tinggi berbanding lelaki sebaya. Buat pertama kali, wanita di bawah 65 tahun kini mempunyai risiko keseluruhan yang lebih tinggi untuk menghidap kanser berbanding lelaki dalam lingkungan usia sama.

“Ini perubahan pola yang signifikan. Risiko yang dahulu lebih tinggi dalam kalangan lelaki kini beralih kepada wanita, terutama yang berusia lebih muda,” kata Dr William Dahut, ketua pegawai saintifik ACS.

Rebecca Siegel, pengarang utama laporan itu berkata, peningkatan ini amat dipengaruhi oleh trend kanser payudara dan tiroid yang meningkat dalam kalangan wanita muda.

“Dua jenis kanser ini sahaja menyumbang hampir 50 peratus daripada diagnosis dalam kumpulan umur tersebut,” katanya.

Di sebalik angka dan graf yang menunjukkan lonjakan kes, tersembunyi kisah nyata yang menggambarkan betapa seriusnya perubahan ini.

Charmella Roark masih ingat saat hidupnya berubah dalam sekelip mata apabila mesej dari adiknya, Kiki, pada 2018 yang memaklumkan bahawa dia disahkan menghidap kanser payudara tahap satu pada usia hanya 37 tahun.
Penyakit yang pernah meragut nyawa ibu saudara mereka kini menghantui keluarga sekali lagi.

“Saya tak percaya. Itu adik saya, kawan baik pertama saya,” kata Charmella.

Lebih mengejutkan, empat tahun kemudian Charmella sendiri menerima diagnosis yang sama.

Bagi Kiki, perjalanan mendapatkan diagnosis bukan mudah. Ia bermula dengan rasa sakit mencucuk di bawah ketiak yang menjalar ke payudara.

Bimbang mengenai kanser, dia meminta tiga orang doktor untuk melakukan mamogram namun semuanya menolak dengan alasan dia terlalu muda untuk menghidap penyakit itu.

“Rasa macam mereka tak ambil serius sebab saya muda. Tapi saya tetap mendesak. Saya tahu ada sesuatu yang tak kena,” katanya. Desakan itu akhirnya menyelamatkan nyawanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN