SYDNEY: Seorang wanita yang mendakwa dirinya sebagai tukang tilik nasib dan pakar feng shui bersama anak perempuannya, didakwa atas kesalahan menipu mangsa berbangsa Vietnam membabitkan jumlah hampir A$70 juta (RM288 juta).
Wanita berusia 53 tahun itu ditahan di kawasan mewah Dover Heights, Sydney pada Rabu bersama anak perempuannya berusia 25 tahun.
Polis berkata, kedua-duanya merupakan sebahagian daripada satu sindiket penipuan dan pengubahan wang haram terancang.
Menurut polis, suspek utama didakwa memperdaya mangsa supaya membuat pinjaman wang selepas meramalkan seorang jutawan bakal muncul dalam hidup mereka, sambil mengambil sebahagian daripada wang pinjaman itu untuk dirinya sendiri.
Wanita berkenaan tidak dibenarkan ikat jamin dan akan dihadapkan ke mahkamah pada Khamis, manakala anak perempuannya dibenarkan ikat jamin dan dijadual hadir ke mahkamah pada Januari depan.
Ibu tersebut berdepan 39 pertuduhan, termasuk mengarahkan aktiviti kumpulan jenayah dan memperoleh keuntungan kewangan melalui penipuan, manakala anaknya dituduh dengan tujuh kesalahan, termasuk berurusan secara cuai dengan hasil jenayah dan menjadi ahli kumpulan jenayah.
Dalam serbuan awal pagi di kediaman mewah mereka, polis merampas dokumen kewangan, telefon bimbit, beg tangan mewah, jongkong emas 40 gram bernilai A$10,000 (RM41,272) dan cip kasino bernilai A$6,600 (RM27,241).
Polis berkata, wanita itu merupakan individu berpengaruh dalam komuniti setempat dan sering memberi khidmat tilikan kepada pelanggan yang menghadapi masalah kewangan.
Beliau kemudian akan meyakinkan mereka jutawan penolong akan muncul sekiranya mereka mengambil pinjaman.
Dalam operasi sama, penyiasat turut membekukan aset bernilai A$15 juta (RM61.89 juta), menjadikan keseluruhan aset yang disita dalam siasatan terhadap sindiket itu kepada lebih A$75 juta (RM309.49 juta) sejak tahun lalu.
Polis menubuhkan Strike Force Myddleton untuk menyiasat kumpulan jenayah yang dipercayai menggunakan identiti palsu bagi mendapatkan pinjaman untuk kenderaan mewah yang sebenarnya tidak wujud.
“Apa yang bermula sebagai siasatan terhadap penipuan pembiayaan kereta berkembang menjadi pendedahan salah satu sindiket jenayah kewangan paling canggih yang pernah saya lihat,” kata Komander Skuad Jenayah Kewangan, Detektif Superintenden **Gordon Arbinja.
Menurut laporan Sydney Morning Herald, ibu dan anak itu dikaitkan dengan kumpulan yang digelar Penthouse Syndicate, dinamakan sempena kediaman mewah milik ketua mereka di Sydney.
Polis mendakwa kumpulan itu menipu beberapa bank utama Australia sebanyak A$250 juta (RM1.03 billion) dengan bantuan kakitangan bank yang meluluskan pinjaman bagi membeli hartanah di sekitar Sydney.
Lebih 12 individu ditangkap dan didakwa atas pelbagai kesalahan termasuk penipuan dan pengubahan wang haram, menjadikannya antara kes kewangan terbesar dalam sejarah Australia.
Polis menjangka lebih banyak tangkapan akan dibuat, khususnya melibatkan peguam, akauntan dan pemaju hartanah yang dipercayai bertindak sebagai pemudah cara profesional kepada kumpulan jenayah itu.











