WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menghubungi Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi minggu ini dan menasihatinya tidak mencetuskan provokasi terhadap Beijing berhubung isu kedaulatan Taiwan, lapor Wall Street Journal.
Panggilan itu dibuat selepas Presiden China, Xi Jinping menghubungi Trump untuk menegaskan tuntutan sejarah Beijing terhadap pulau berautonomi tersebut, selain menekankan tanggungjawab bersama AS–China dalam mengurus kestabilan dan tertib dunia.
Takaichi sebelum ini mencetuskan ketegangan diplomatik apabila menyatakan serangan China terhadap Taiwan berpotensi membawa kepada tindak balas ketenteraan Jepun.
Menurut laporan itu, nasihat Trump disampaikan secara berhemah dan beliau tidak mendesak Takaichi menarik balik kenyataannya, namun Washington dipercayai berhati-hati mengelakkan ketegangan serantau daripada terus memuncak.
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Taiwan, Lai Ching-te, pada Rabu mengumumkan bajet khas berjumlah AS$40 bilion (RM4.13 trilion) bagi tempoh 2026 hingga 2033 untuk pembelian persenjataan, termasuk pembangunan sistem pertahanan udara berkeupayaan tinggi dikenali sebagai Taiwan Dome.
Langkah itu dibuat ketika AS mendesak Taipei meningkatkan perbelanjaan pertahanan bagi menghadapi ancaman Beijing.
Beliau turut menegaskan ancaman China terhadap Taiwan serta rantau Indo-Pasifik semakin meningkat, dengan pencerobohan ketenteraan, operasi zon kelabu maritim dan kempen maklumat palsu turut dilaporkan di Jepun, Filipina dan Selat Taiwan.
“China terus meningkatkan ancaman dan tekanan terhadap negara jiran. Ini bukan ciri kuasa besar yang bertanggungjawab,” katanya.
Taiwan merancang menaikkan belanjawan pertahanannya kepada 3.3 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2026, namun Trump sebelum ini mendesak angka itu ditingkatkan sehingga 10 peratus KDNK, jauh melebihi nisbah negara-negara sekutu AS.
Jabatan Negara AS dalam kenyataannya menyambut baik pengumuman bajet khas itu.










