WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump meluluskan penjualan jet pejuang canggih F-35 kepada Arab Saudi, satu perubahan besar dalam dasar pemindahan senjata sensitif Washington ke rantau Arab.
Pengumuman itu dibuat di Rumah Putih sehari sebelum Putera Mahkota Mohammed bin Salman dijadualkan mengadakan pertemuan rasmi dengan beliau.
Trump ketika ditemui media menegaskan Washington menghargai hubungan erat dengan Riyadh.
“Kami akan menjual F-35. Mereka mahu beli. Mereka sekutu yang hebat,” katanya.
Keputusan itu dianggap memberi kelebihan diplomatik kepada Trump yang ketika ini berusaha meyakinkan Arab Saudi supaya menjalinkan hubungan rasmi dengan Israel di bawah rangka kerja Perjanjian Abraham.
Namun langkah tersebut mencetuskan kebimbangan serius dalam kalangan pemimpin Israel.
Beberapa pegawai keselamatan Israel menzahirkan bantahan terhadap rancangan itu kerana dikhuatiri menjejaskan prinsip kelebihan ketenteraan kualitatif Israel (QME) yang menjadi dasar undang-undang AS sejak 1968.
Bekas Timbalan Ketua Tentera Israel, Yair Golan memberi amaran kelebihan ketenteraan Israel “sedang dipertaruhkan”.
Jet F-35 buatan Lockheed Martin dilihat sebagai pesawat tempur paling canggih di dunia dengan kemampuan penyamaran radar yang sukar dikesan, sekali gus mencetuskan kebimbangan kemungkinan berlakunya perlumbaan senjata baharu di Asia Barat sekiranya Riyadh menerima pesawat tersebut.
Pengumuman Trump dibuat ketika Washington berusaha memperkukuh hubungan strategik dengan Riyadh di tengah ketegangan berterusan di Gaza.
Media Arab Saudi turut melaporkan Putera Mohammed menerima surat tulisan tangan daripada Presiden Iran, Masoud Pezeshkian sebelum berlepas ke Washington, menandakan dinamika diplomatik yang semakin kompleks.
Jika penjualan ini direalisasikan, Arab Saudi akan menjadi negara Arab pertama memiliki F-35.
Sebelum ini, Emiriah Arab Bersatu pernah diluluskan pembelian pesawat sama pada 2020, namun perjanjian itu dibatalkan selepas Joe Biden mengambil alih jawatan Presiden.
Walaupun pentadbiran AS meluluskan penjualan senjata, Kongres kekal berkuasa menolak sebarang urus niaga yang dianggap menjejaskan kepentingan negara.










