WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menandatangani satu perintah eksekutif bagi memulakan proses menetapkan beberapa cawangan Ikhwanul Muslimin sebagai pertubuhan pengganas asing.
Langkah itu menyasarkan cawangan kumpulan berkenaan di Lubnan, Mesir dan Jordan.
Menurut perintah tersebut, cawangan yang dinamakan itu didakwa “terlibat atau memudah serta menyokong keganasan dan tindakan yang mengganggu kestabilan sehingga menjejaskan rantau mereka, warga AS dan kepentingan Washington.”
Gerakan Ikhwanul Muslimin diasaskan di Mesir pada 1928 dan berkembang ke seluruh dunia Arab, berteraskan matlamat menghidupkan kembali prinsip Islam sebagai benteng menentang kolonialisme Barat.
Dengan penyenaraian sebagai pertubuhan pengganas asing, Washington boleh mengambil tindakan tegas termasuk membekukan aset yang mungkin dimiliki kumpulan itu di AS serta menghalang kemasukan anggotanya ke negara tersebut.
Tanggungjawab seterusnya kini terletak kepada Setiausaha Negara, Marco Rubio dan Setiausaha Perbendaharaan, Scott Bessent untuk melengkapkan proses pengharaman itu.
Beberapa negara sudah mengharamkan Ikhwanul Muslimin sebelum ini, termasuk Mesir dan Arab Saudi.
Jordan pula mengambil langkah sama pada April tahun ini, selepas menuduh kumpulan itu menghasilkan dan menyimpan senjata serta merancang untuk menggugat kestabilan negara.
Walaupun popular di Jordan, pergerakan itu masih beroperasi sebelum larangan tersebut dikuatkuasakan, meskipun mahkamah tertinggi negara itu pada 2020 memutuskan untuk membubarkannya.
Di Mesir, Ikhwanul Muslimin diharamkan sejak 2013 selepas Presiden Mohamed Morsi, yang juga pemimpin kumpulan itu, digulingkan dalam rampasan kuasa ketenteraan yang diketuai Jeneral Abdel Fattah al-Sisi. Sisi kemudian memimpin negara itu sehingga kini dan menjalin hubungan rapat dengan Washington.
Sementara itu di Perancis, Presiden Emmanuel Macron pada Mei lalu mengarahkan kerajaan negara tersebut merangka cadangan untuk membendung pengaruh Ikhwanul Muslimin serta perkembangan politik Islam di negara berkenaan, sebagai sebahagian usaha menangani ancaman ekstremisme.










