WEST PALM BEACH, Amerika Syarikat: Presiden AS, Donald Trump menyatakan operasi imigresen yang mencetuskan protes dan dakwaan pelanggaran hak tidak mencukupi, dalam satu temuramah bersama CBS yang diterbitkan pada Ahad.
Apabila ditanya oleh wartawan Norah O’Donnell sama ada serbuan yang dijalankan ejen Imigresen dan Kastam (ICE) sudah ‘melampau’, Trump, 79, menjawab, ‘Saya rasa ia belum cukup jauh’.
Beliau mendakwa “hakim liberal” yang dilantik oleh presiden Demokrat Barack Obama dan Joe Biden telah “menahan” operasi imigresen.
O’Donnell turut menyebut insiden ejen ICE menahan pendatang, menggunakan gas pemedih mata di kawasan perumahan dan memecahkan tingkap kereta.
“Awak okey dengan taktik itu?” soal O’Donnell. Trump menjawab: “Ya, kerana anda perlu mengusir orang itu.”
Sejak kembali ke Rumah Putih pada Januari, Trump mendorong gelombang besar pengusiran, ciri utama kempen presidennya 2024, sambil menghadapi protes di bandar-bandar yang diterajui Demokrat dan tindakan undang-undang terhadap penggunaan Pengawal Negara untuk menyokong operasi imigresen.










