HANOI: Selepas mengorbankan lebih 100 nyawa di Filipina, Taufan Kalmaegi membadai tengah Vietnam malam tadi, membawa hujan lebat dan angin kencang yang menyebabkan kerosakan besar di beberapa wilayah, lapor portal tempatan VNExpress yang dipetik oleh Xinhua.
Bencana itu menumbangkan pokok, merosakkan bumbung serta memecahkan tingkap bangunan, selain menyebabkan gangguan bekalan elektrik yang menjejaskan ratusan ribu kediaman.
Beberapa kawasan turut dilaporkan mengalami banjir kilat dan ribut petir berterusan sejak lewat malam semalam.
Pihak berkuasa Vietnam memaklumkan, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan bagi mengesan tiga nelayan yang hilang di luar pesisir Pulau Ly Son di wilayah Quang Ngai selepas kapal mereka terbalik akibat laut bergelora.
Bagaimanapun, angin kuat dan ombak besar menghalang usaha menyelamat segera.
Pasukan penyelamat menerima ratusan panggilan kecemasan daripada penduduk yang melaporkan kejadian bumbung rumah runtuh dan banjir menenggelamkan kediaman. Ombak setinggi lebih tiga meter menghempas pantai Quy Nhon di wilayah Binh Dinh.
Kementerian Alam Sekitar Vietnam dalam kenyataan berasingan berkata, taufan itu membawa angin mencecah 149 kilometer sejam, sekali gus menjadi antara ribut paling kuat melanda negara itu dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
Sebelum tiba di Vietnam, Kalmaegi meninggalkan kemusnahan dahsyat di Filipina, dengan sekurang-kurangnya 140 orang maut dan 127 lagi hilang akibat banjir besar sehingga Presiden Ferdinand Marcos Jr. mengisytiharkan darurat bencana selepas ribut itu turut melanda beberapa wilayah dan menyebabkan kerosakan meluas.
Marcos berkata, pengisytiharan itu bertujuan mempercepatkan bantuan, pemulihan serta membolehkan akses segera kepada dana kecemasan negara.
“Disebabkan skala kerosakan yang luas dan ancaman taufan susulan, saya telah meluluskan cadangan untuk mengisytiharkan bencana negara,” katanya.










