LUCERNE: Tradisi nyanyian unik masyarakat Switzerland yang dikenali sebagai yodel berkemungkinan besar bakal diiktiraf sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menjelang hujung tahun ini.
Kerajaan Switzerland kini mengemukakan permohonan rasmi kepada UNESCO, yang beribu pejabat di Paris, bagi mengiktiraf tradisi yodeling sebagai sebahagian daripada warisan budaya dunia yang perlu dipelihara.
Dahulu, yodel dikaitkan dengan laungan bernada tinggi para pengembala di pergunungan Alps, namun kini ia berkembang menjadi bentuk nyanyian rakyat yang diiktiraf di seluruh dunia.
Sepanjang abad lalu, kelab-kelab yodel tumbuh di seluruh Switzerland, memperkukuh tradisi itu dan memperluas pengaruhnya ke dalam muzik klasik, jazz dan rakyat malah, penyanyi country Amerika turut menggabungkan unsur yodel dalam lagu mereka pada era 1920-an dan 1930-an.
Kira-kira tujuh tahun lalu, Universiti Sains Gunaan dan Seni Lucerne (HSLU) menjadi universiti pertama di Switzerland yang menawarkan kursus khusus dalam bidang yodeling.
“Di Switzerland kita ada empat bahasa rasmi, tetapi sebenarnya ada satu lagi iaitu yodel,” kata Profesor Nadja Räss dari HSLU, merujuk kepada bahasa Jerman, Perancis, Itali dan Romansh.
Menurutnya, yodel versi Switzerland berbeza daripada Austria, Jerman atau Itali kerana teknik vokalnya yang tersendiri dan kini terdapat lebih 12,000 pengamal yodel di seluruh Switzerland yang bernaung di bawah kira-kira 780 kumpulan dalam Persatuan Yodel Switzerland.
Räss menjelaskan yodel dibina berdasarkan ‘warna bunyi suara’ dan terdiri daripada dua jenis utama iaitu satu yang menggunakan suara kepala dengan bunyi “u” dan satu lagi yang datang dari dada dengan bunyi “o”.
Gaya yodel juga berbeza mengikut wilayah; di Appenzell misalnya, ia kedengaran perlahan dan melankolik, manakala di kawasan tengah Switzerland ia lebih pendek dan lantang.
UNESCO dijangka membuat keputusan rasmi pada pertengahan Disember di New Delhi, India dan antara 68 pencalonan lain tahun ini termasuk bedak muka tradisional Thanakha dari Myanmar, muzik highlife dari Ghana, minuman diperam Maksym dari Kyrgyzstan, serta muzik dan tarian El Joropo dari Venezuela. — AGENSI










