Suspek tembak Pengawal Kebangsaan AS didakwa pertuduhan bunuh - Utusan Malaysia

Suspek tembak Pengawal Kebangsaan AS didakwa pertuduhan bunuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Seorang warga Afghanistan yang didakwa menembak dua anggota Pengawal Negara Amerika Syarikat (AS) bakal didakwa bagi pertuduhan membunuh peringkat pertama, kata seorang pegawai AS pada Jumaat (28 Nov), susulan kematian seorang daripada anggota terbabit.

Perkembangan terbaharu itu meningkatkan pertuduhan terhadap suspek dikenal pasti sebagai Rahmanullah Lakanwal, 29, yang menurut media AS pernah menjadi anggota Zero Units, pasukan separa tentera Afghanistan yang disokong CIA.

“Masih banyak pertuduhan lain yang akan menyusul, namun kami menaikkan pertuduhan awal daripada serangan kepada pembunuhan peringkat pertama,” kata Peguam Wilayah Washington DC, Jeanine Pirro, kepada program Fox & Friends di rangkaian Fox News.

“Ia adalah pembunuhan terancang. Satu serangan hendap bersenjata terhadap individu yang tidak mengetahui apa yang menanti mereka,” katanya.

Pengumuman itu dibuat sehari selepas Peguam Negara, Pam Bondi, berikrar untuk menuntut hukuman mati terhadap Lakanwal, yang digambarkannya sebagai ‘raksasa’.

Menurut Pirro, Lakanwal melepaskan tembakan menggunakan revolver .357 Smith & Wesson ke arah sekumpulan anggota Pengawal Negara yang sedang bertugas hanya beberapa blok dari White House pada Rabu, sehari sebelum sambutan Thanksgiving.

Seorang anggota Pengawal Negara dari West Virginia, Sarah Beckstrom, 20, yang ditugaskan di Washington sebagai sebahagian daripada usaha Trump menangani jenayah, meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami, kata presiden itu pada Khamis.

Seorang lagi anggota, Andrew Wolfe, 24, dilaporkan bertarung nyawa.

Insiden tembakan itu telah menggabungkan tiga isu politik yang sangat sensitif iaitu penggunaan tentera oleh Trump di tanah AS, isu imigresen, serta legasi berpanjangan konflik 20 tahun di Afghanistan, perang terpanjang dalam sejarah AS. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN