LONDON: Ratusan kematian dalam kalangan rakyat Britain pertengahan usia didakwa berkait dengan suntikan penurunan berat badan popular, menurut pendedahan Daily Mail.
Di tengah ledakan penggunaan Ozempic, Mounjaro dan Wegovy, pihak berkuasa ubat-ubatan menerima 52 laporan kematian melibatkan suntikan GLP-1 sejak awal 2024.
Pakar kini memberi amaran mengenai angka kematian tersebut, ketika jutaan lagi dijangka menerima suntikan berkenaan sebagai usaha menangani masalah obesiti negara.
Pengerusi Forum Obesiti Kebangsaan, Tam Fry berkata, walaupun ubat ini sangat berkesan untuk individu yang benar-benar memerlukannya, ia kini digunakan secara tidak wajar oleh golongan lebih kurus yang hanya mahu hilang sedikit berat.
“Jika anda mengambil ubat ini tanpa keperluan dan melanggar peraturan, anda berisiko mengalami komplikasi serius atau kematian.
“Orang selalu fikir ‘ia tidak akan berlaku pada saya’, tetapi akhirnya ia berlaku. Mereka ambil ubat ini dan mengalami komplikasi teruk,” katanya.
Data yang dikendalikan oleh sebuah agensi kerajaan itu tidak menyatakan sama ada individu yang meninggal dunia telah menggunakan ubat tersebut secara tidak wajar.
Secara keseluruhan, Medicines and Healthcare products Regulatory Agency (MHRA) yang mengawasi keselamatan semua ubat di Britain, menerima 173 laporan dengan hasil kematian berkaitan suntikan GLP-1.
Laporan kesan sampingan meningkat seiring kenaikan preskripsi, susulan keberkesanan luar biasa ubat ini dalam membantu menurunkan berat badan.
Dianggarkan 1.5 juta orang di United Kingdom (UK) menggunakan suntikan tersebut melalui farmasi dalam talian swasta, manakala 200,000 lagi mendapatkannya melalui NHS.
Namun kebimbangan terhadap kesan sampingan semakin meningkat, dengan simptom ringan termasuk sakit kepala, muntah dan cirit-birit.
Dalam kes lebih serius, GLP-1 boleh menyebabkan batu karang, batu buah pinggang dan radang pankreas, dengan sesetengah doktor memberi amaran mengenai komplikasi yang mengancam nyawa.
Dua daripada kematian melibatkan individu dalam lingkungan usia 20-an, menurut siasatan terhadap sistem Yellow Card MHRA.
Sebahagian besar pula melibatkan golongan pertengahan usia dengan lapan kematian dalam kalangan mereka berusia 30-an, 15 dalam 40-an dan 37 dalam 50-an.










