DETROIT: Syarikat automotif Stellantis mengumumkan penarikan balik 375,000 kenderaan SUV hibrid plug-in Jeep Wrangler dan Grand Cherokee di seluruh dunia susulan risiko kegagalan bateri selepas 19 kes kebakaran dilaporkan.
Lapor Reuters, langkah itu melibatkan model Jeep Wrangler 4xe keluaran 2020 hingga 2025 dan Jeep Grand Cherokee 4xe keluaran 2022 hingga 2026.
Stellantis menasihatkan pemilik tidak mengecas kenderaan mereka buat sementara waktu dan memarkirnya di luar bangunan sehingga kerja pembaikan dilaksanakan bagi mengelakkan risiko kebakaran.
Menurut laporan Pentadbiran Keselamatan Lalu Lintas Lebuhraya Kebangsaan (NHTSA), syarikat menerima 19 laporan kebakaran dan satu kes kecederaan yang dikaitkan dengan isu tersebut.
Daripada jumlah keseluruhan, sekitar 320,000 kenderaan terjejas berada di Amerika Syarikat (AS).
Bateri bagi model berkenaan dihasilkan oleh Samsung SDI. Hasil siasatan bersama Stellantis dan Samsung SDI mendapati, kebakaran yang berlaku awal tahun ini berpunca daripada kecacatan yang sama seperti dalam penarikan balik 154,000 kenderaan Jeep hibrid pada 2024, yang turut melibatkan dua kes kecederaan.
NHTSA memaklumkan kenderaan yang sudah dibaiki dalam penarikan balik tahun 2023 dan 2024 juga perlu diperbaiki semula.
Stellantis turut melaporkan sembilan kes kebakaran yang berpunca daripada bateri bagi model Jeep Wrangler dan Grand Cherokee yang menerima kemas kini perisian dalam penarikan balik 2024, serta 10 lagi kes kebakaran daripada bateri yang tidak termasuk dalam skop pembaikan terdahulu.
Menurut Samsung SDI, punca utama yang paling berkemungkinan adalah kerosakan pada pemisah bateri yang berlaku bersama interaksi kompleks dalam sel bateri.
Stellantis, pengeluar automotif Perancis-AS itu, sebelum ini juga menarik balik lebih 298,000 kenderaan di AS pada Oktober lalu kerana risiko kenderaan boleh bergerak sendiri.










