Sidang media Trump tertangguh selepas lelaki pengsan di Pejabat Oval - Utusan Malaysia

Sidang media Trump tertangguh selepas lelaki pengsan di Pejabat Oval

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Sidang media Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di Pejabat Oval terpaksa dihentikan seketika selepas seorang hadirin tiba-tiba rebah ketika acara berlangsung.

Insiden berlaku ketika pentadbiran Trump mengumumkan inisiatif baharu kerajaan untuk menurunkan harga ubat pelangsing, termasuk Ozempic, yang semakin popular di Amerika Syarikat.

Lelaki yang pengsan itu dipercayai merupakan wakil syarikat farmaseutikal dan berdiri di belakang Presiden ketika kejadian berlaku.

Jurucakap Rumah Putih, Karoline Leavitt, memaklumkan individu terbabit diberi rawatan segera oleh pasukan perubatan di lokasi dan kini berada dalam keadaan stabil.

“Beliau sedang dirawat oleh doktor dan keadaannya baik,” kata Trump selepas sidang media disambung semula.

Rakaman langsung menunjukkan beberapa hadirin, termasuk pentadbir Medicare dan Medicaid serta tokoh perubatan terkenal, Dr Mehmet Oz, segera membantu lelaki berkenaan sebelum menurunkannya ke lantai dengan berhati-hati.

Ketika kejadian, pegawai keselamatan mengarahkan wakil media meninggalkan bilik bagi memberi ruang kepada petugas perubatan.

Selepas keadaan kembali terkawal, Trump meneruskan sidang media dan menyatakan keprihatinan terhadap individu tersebut sambil menegaskan pentadbirannya komited untuk memastikan ubat pelangsing dapat diakses dengan lebih meluas pada harga yang mampu milik.

Beliau berkata, kerajaan akan bekerjasama dengan syarikat farmaseutikal utama untuk mengurangkan kos ubat rawatan obesiti dan diabetes, yang kini menjadi antara perbelanjaan kesihatan tertinggi rakyat Amerika.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN